China Tonggak dalam Misi Pengaman PBB

2022-10-19 14:11:16  CRI
Share with:

Batalion infantri pasukan pengaman China ke Sudan Selatan, dan detasmen helikopter pasukan pengaman China ke wilayah Abyei dianugerahkan "pingat keamanan kehormat" oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Penganugerahan pingat itu bagi memberikan penghargaan atas sumbangan cemerlang yang dibuat pasukan pengaman China terhadap keamanan dan pembangunan di Sudan Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang taklimat pada Selasa berkata, kedua-dua pasukan tersebut ditempatkan di Sudan Selatan dan wilayah Abyei masing-masing pada Disember dan November tahun lepas. 

"Mereka telah berjaya menyelesaikan lebih 400 misi pengaman, dan mendapat pujian daripada masyarakat tempatan.

"Tindakan mereka telah menunaikan komitmen China untuk memelihara keamanan dunia." kata Wang.

Wang berkata, tahun ini ialah ulang tahun ke-30 penghantaran pakuskan pengaman China untuk misi pengaman PBB.  

"Sepanjang 30 tahun yang lalu, China telah menghantar lebih 50,000 anggota pasukan pengaman ke lebih 20 negara dan wilayah membabitkan hampir 30 misi pengaman PBB.

"China ialah anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dengan bilangan penghantaran anggota pengaman paling banyak dan sumbangan dana kedua terbesar dalam misi pengaman PBB.

"Semakin ramai anggota pengaman China kelihatan menjalankan misi di mana keamanan dan ketenteraman perlu dipelihara." kata Wang.

Seperti yang dinyatakan Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi operasi pengaman, Jean-Pierre Lacroix, "China telah memainkan peranan signifikan dalam operasi pengaman PBB dan telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai negara besar dalam memelihara keamanan dunia."