Menelusuri BRI Pasca Pandemik COVID-19

2022-12-28 14:34:28  CRI
Share with:

Tamadun China yang bermula lebih kurang 5,000 tahun dahulu merupakan satu tamadun yang sangat disegani. Usaha membantu keamanan dan kesejahteraan dunia telah mula berlaku sezaman yang dahulu. Mengimbau kembali laluan sutera yang melibatkan laluan darat dan maritim telah membawa penjelajahan dari seluruh pelosok negara untuk bersahabat dengan negara luar.

Melihat kepada situasi semasa, Presiden China Xi Jinping telah memperkenalkan Inisiatif Jalur dan Laluan atau dikenali sebagai Belt and Road Initiative (BRI) sempena lawatan rasmi beliau di Kazakhstan dan Indonesia masing-masing pada September dan Oktober 2013. Kalau dilihat dalam tafsiran negara China, inisiatif BRI ini adalah satu landasan kerjasama antarabangsa yang terbuka dan inklusif untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat pelbagai negara.  

Inisiatif BRI telah membuka jaringan kerjasama dengan semua rakan dan tidak tertakluk kepada negara-negara Asia, Afrika dan Eropah semata-mata. Kita juga dapat lihat bahawa inisiatif ini semakin mendapat pengiktirafan daripada pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa. Pembinaan bersama BRI pula telah termaktub dalam dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 20 (G20) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Terbaharu kita dapat lihat kejayaan syarikat China menyiapkan fasa pertama laluan biru projek transit ringan Lagos di Nigeria. Ianya merupakan projek LRT elektrik yang pertama di kawasan Afrika Barat dalam pembinaan bersama BRI.

Pelaksanaan BRI juga dianggarkan telah membantu seramai 7.6 juta penduduk daripada negara terlibat membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan mutlak, membantu perdagangan sejagat meningkat 6.2 peratus dan pendapatan sejagat meningkat 2.9 peratus, menurut laporan yang diterima daripada Bank Dunia.

Jika melihat kepada prinsip asas pembinaan BRI, ianya bersandarkan berbincang, membina dan berkongsi bersama-sama.  Semua pihak akan berpeluang menyumbangkan cadangan yang baik, membina bersama kelebihan dan kemampuan dan berkongsi hasil pembangunan inisiatif BRI.

Menyentuh tentang BRI dan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan, Malaysia antara kumpulan negara pertama yang menyokong BRI dan akan terus menyokong inisiatif ini.

Malaysia dan China adalah jiran rapat yang dihubungkan oleh laluan air dan darat. Kedua-dua negara rapat secara geografi dan berkongsi ikatan pertalian semula jadi.

Data terkini menunjukkan bahawa sehingga Ogos 2022, jumlah perdagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah AS$131.2 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 21.2 peratus. China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama tiga belas (13) tahun berturut-turut. Pelaburan dan kerjasama perusahaan China di Malaysia berkembang melangkaui sektor tradisional keperluan harian dan tekstil kepada sektor berteknologi tinggi dan baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau, internet pelbagai benda, bioteknologi dan pembuatan berteknologi tinggi.

Malaysia sentiasa berpegang kepada multilateralisme dan kebebasan perdagangan. Usaha akan diteruskan untuk  memperdalam pertukaran dan kerjasama antara Malaysia dan China di bawah inisiatif BRI. Dasar Malaysia sentiasa menggalakkan dan mengalu-alukan lebih banyak perusahaan China berteknologi tinggi, penjimatan tenaga dan mesra alam ke Malaysia untuk membantu negara mencapai transformasi ekonomi dan peningkatan industri, dan mencapai Industri 4.0 secepat mungkin. Projek utama di Malaysia seperti Laluan Rel Pantai Timur dan Transit Aliran Massa Dua (2) dibina oleh perusahaan China, dan telah memberikan prestasi yang hebat dari segi kelajuan pembinaan, teknologi pembinaan dan prestasi projek berkenaan.

Inisiatif BRI mematuhi Piagam PBB yang selaras dengan Lima Prinsip Hidup Bersama secara Damai, menjunjung keterbukaan dan kerjasama, menjaga keharmonian dan keterangkuman, mematuhi operasi pasaran serta mewujudkan situasi menang-menang.

Melihat ke hadapan 2023, pemulihan ekonomi global berada di landasan yang betul tetapi masih menghadapi pelbagai risiko dan cabaran. Selanjutnya kepada kerjasama menangani COVID-19 antara kerajaan dan rakyat Malaysia dan China, pemimpin negara telah menggariskan dan menetapkan hala tuju untuk langkah seterusnya pembangunan hubungan dua hala. Melalui inisiatif BRI ini, Malaysia dan China akan terus meningkatkan pertukaran dan kerjasama praktikal dalam pelbagai sektor, kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk muncul lebih kukuh selepas wabak dan mengekalkan momentum pertumbuhan, dan hubungan Malaysia-China juga akan memasuki landasan pembangunan yang lebih mantap.

 

 

Penulis :

Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah