Selamat Hari Kank-kanak
Menjelang Hari Kanak-kanak di China yang jatuh pada hari ini, sekolah si kecil menganjurkan beberapa aktiviti yang cukup menarik. Antaranya termasuk menanam padi dan mengambil sampah di kawasan pergunungan di bahagian Barat bandar Beijing.
“Ayun cangkul bawah terik mentari,
Titisan peluh bercucuran ke Bumi,
Dari mana datangnya sebutir nasi,
Jika bukan dari keringat petani.”
Ini adalah puisi yang bertajuk ‘Hargai Keringat Petani’ yang dicipta sekitar 1,200 tahun yang lalu. Dan, boleh dikatakan setiap kanak-kanak di China pasti fasih membaca puisi tersebut.
Namun, kebanyakan daripada mereka membesar di bandar. Bukan sahaja tidak pernah tengok padi, apatah lagi untuk memahami perit jerih kaum tani.
Siapa sangka, dalam bandar Beijing ini, masih terdapat sawah padi yang terwujud sejak zaman Maharaja Kangxi Dinasti Qing pada 1692. Kini, ia menjadi pangkalan pendidikan budaya pertanian untuk kanak-kanak.
Setelah si kecil balik dengan baju yang kotor, dia memberitahu Satria bahawa menanam padi memang susah. Katanya, beberapa pelajar lelaki turut mengalami kesukaran mengeluarkan kaki masing-masing dari lumpur dan akhirnya jatuh semula dalam sawah.
Meskipun kefahamannya belum cukup mendalam, tapi sekurang-kurangnya dia sudah mempunyai sedikit idea bagaimana sukarnya untuk menghasilkan sebutir beras.
Seterusnya Satria membantu si kecil menyiapkan kerja sekolah. Kami mencari banyak bahan dari internet untuk mengisi borang mengenai sejarah padi tersebut, cuaca, geografi, hidrologi dan pelbagai unsur yang mempengaruh penumbuhannya serta peri pentingnya pertanian bagi negara ini sejak sekian lama yang dicerminkan oleh padi yang ditanamkan oleh maharaja pada purba kala.
Keselamatan makanan sangat penting bagi setiap negara, khususnya setelah mengalami impak krisis makanan ekoran konflik geopolitik pada beberapa tahun ini.
Kini ramai orang telah menyedari bahawa keselamatan makanan bukan sahaja masalah bagi negara miskin lagi. Satria mendapati semakin banyak video mengenai menolak pembaziran makanan yang dicipta oleh pempengaruh media sosial di Barat.
Bagi si kecil, mungkin masih sukar untuk memahami apakah itu keselamatan makanan. Tapi sekurang-kurang boleh dimulakan dengan pendidikan menjimat makanan.
Hari ini pula Satria diberitahu yang guru sedang membawa si kecil dan kawan-kawan sekelas mengutip sampah mengiringi jalan kuno dari Beijing ke Provinsi Shanxi di kawasan pergunungan.
Jalan kuno ini menjadi laluan penting untuk menyediakan arang batu kepada bandar Beijing pada masa dahulu dan kini menjadi laluan yang amat popular bagi penggemar pengembara berjalan kaki dan juga jurugambar.
Kedatangan mereka menghidupkan laluan kuno ini, sekali gus merancakkan ekonomi beberapa kampung, restoran makanan khas dan inap desa berkembang dengan makmur.
Namun yang agak terkilannya, kehadiran mereka turut diiringi dengan ‘kehadiran sampah’.
.
Memetik Presiden Xi Jinping, “Gunung Hijau dan Air Jernih Sama seperti Gunung Emas dan Perak”. Jadi, sekiranya gunung itu dipenuhi dengan sampah, pastinya tiada orang yang mahu mengunjunginya.
Memelihara alam sekitar dan ekosistem bermakna kita juga menjamin rezeki dan pembangunan lestari. Antara pelbagai tindakan diambil termasuklah aktiviti amal yang disertai oleh sukarelawan.
Satria telah membantu si kecil mendaftar sebagai sukarelawan. Berdasarkan dasar kerajaan, lulusan sekolah menengah atas perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 40 jam sebagai sukarelawan. Manakala yang berkhidmat lebih 1500 jam akan diutamakan ketika diterima oleh universiti.
Satria menyaksikan perkhidmatan sukarela berkembang sejak Sukan Olimpik pada 2008. Selepas itu sumbangan sukarelawan sudah banyak kali kelihatan, termasuk penyelamatan bencana di pelbagai tempat.
Setelah pandemik Covid-19 melanda, dalam setengah tahun saja terdapat 8.81 juta orang China dilaporkan mendaftar menjadi sukarelawan, berjuang untuk melawan wabak. Sebenarnya jumlah orang yang secara sukarela menyertai “perang” ini jauh lebih besar daripada angka ini.
Mencuba menanam padi untuk memahami kerajinan kaum tani dan mengambil sampah di kawasan pergunungan sebagai sukarelawan, Satria berpendapat pengalaman ini lebih berharga berbanding apa jua hadiah untuk Hari Kanak-kanak ini.