Jom ke Kampung Pelancongan Terbaik
Empat lagi kampung di China diiktiraf sebagai 'Kampung Pelancongan Terbaik' oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).
Empat kampung itu ialah Kampung Huangling di provinsi Jiangxi, Kampung Xiajiang di provinsi Zhejiang, Kampung Zhagana di provinsi Gansu dan Kampung Zhujiawan di provinsi Shaanxi.
Setakat ini, lapan buah kampung di China yang mendapat pengiktirafan sebagai 'Kampung Pelancongan Terbaik' UNWTO, menduduki tangga teratas senarai berkenaan di dunia. Kebetulan Satria pernah melawat salah sebuah kampung tersebut yang terletak di provinsi Anhui pada cuti sekolah musim panas lalu, iaitu Kampung Xidi dan Hongcun. Kampung ini, telah terpilih pada 2021, dan juga diktiraf sebagai Warisan Budaya Dunia.
Hongcun yang dibina bermula pada tahun 1131, beransur-ansur semakin makmur dan menjadi kompleks seni bina tradisional Anhui. Satria yang berpeluang menginap di sana selama beberapa hari akhirnya memahami apa yang dikatakan “air jernih dan gunung hijau bagaikan gunung emas dan perak”.
Satria bangun pagi-pagi lagi, ketika matahari baru terbit untuk berjalan-jalan di dalam kampung. dan kelihatan penduduk tempatan membasuh pakaian di dalam kolam Yue Zhao yang berbentuk bulan sabit di tengah-tengah kampung.
Meskipun di sekitar Yue Zhao terdapat banyak restoran dan bar yang menerima kunjungan para pelancong pada malam sebelumnya, tetapi tiada sama sekali air kotor masuk dan mencemarkan air kolam itu. Kebiasaan penduduk kampung selama ratusan tahun tidak terganggu. Hal ini menarik ramai jurugambar seperti Satria yang menginap di kampung itu, untuk menggunakan kamera mereka merakam gambar yang menakjubkan.
Selain itu, pada kira-kira pukul 8.00 pagi, pelajar-pelajar dari sekolah seni lukis juga datang dan mencari tempat yang sesuai untuk mendapatkan ilham dan mencipta karya mereka.
Bermula pada pukul 10.00 pagi, kampung yang sepi mula bangun. Para penduduk membuka kedai mereka untuk menyambut pelancong. Ada yang menjual makanan khas tempatan, dan ada juga kedai kopi yang digemari oleh golongan muda.
Satria kembali ke hotel penginapan, iaitu bangunan berseni bina tradisional Anhui yang telah bersejarah lebih 280 tahun. Struktur rumah yang sedemikan rupa boleh menempati satu keluarga yang besar dan sederhana pada masa itu.
Namun nasib penduduk kampung pula sama dengan nasib bangsa dan negara. Seiring dengan kesengsaraan yang dialami oleh negara ini sejak akhir Dinasti Qing(tahun 1616 hingga 1911), kampung “peniaga Anhui” yang sangat makmur suatu ketika dahulu mula merosot.
Pada tahun 1998, ada syarikat memeterai kontrak dengan kerajaan serta penduduk tempatan dan melabur lebih RMB13 juta untuk mengubah suai kampung ini menjadi destinasi pelancongan. Projek ini menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada para penduduk. 33% hasil jualan tiket dikembalikan kepada kerajaan dan penduduk Kampung Hongcun.
Kini jualan tiket Kampung Hongcun mencatat kira-kira RMB80 juta setahun!
Banyak bangunan diubah suai menjadi hotel untuk memenuhi keperluan jutaan pelancong dari seluruh dunia. Hotel yang Satria inapi juga tidak terkecuali. Struktur dan hiasan masih terkawal seperti seratus tahun yang lalu, tetapi sudah dilengkapi pelbagai fasiliti moden untuk memudahkan pelancong. Malah ada pelancong asing sudah jatuh cinta dengan budaya dan suasana di sini, membeli rumah penduduk tempatan untuk didiami dan turut menyantuni pelancong dari luar negara.
Ekologi yang baik menjadikan ekonomi yang baik, ekonomi yang baik mewujudkan kehidupan yang baik.
Pelbagai kampung pelancongan terbaik telah tersenarai dalam pelan pelancongan Satria pada masa depan. Ini termasuk Kampung Batu Puteh, Sabah, Malaysia dan Nglanggeran, Yogyakarta, Indonesia.