Persahabatan Rakyat dan Kerjasama Perdagangan Asas Hubungan Bilateral China-AS
Presiden China, Xi Jinping tiba di San Francisco, Amerika Syarikat(AS) dengan menaiki kapal terbang khas pada petang 14 November waktu tempatan. Gabenor California, Gavin Newsom, Setiausaha Perbendaharaan, Janet L. Yellen, dan Duta Besar AS ke China, R. Nicholas Burns menyambut ketibaan beliau di lapangan terbang.
Ini sebenarnya telah memperlihatkan asas hubungan bilateral kedua-dua negara, serta pertukaran dalam kalangan rakyat dan ekonomi.
Gavin Newsom baru selesai membuat lawatan ke China. Pertemuan beliau dengan Presiden Xi bermula dengan menonton perlawanan bola keranjang antara pasukan Lakers Los Angeles dan Phoenix Suns, menjadikan suasananya amat mesra. Gavin Newsom menyatakan bahawa San Francisco mempunyai “China Town” yang pertama dan juga terbesar di dunia. Beliau berharap lebih ramai pelancong China memilih California sebagai destinasi pertama ketika berkunjung ke AS.
Pada 38 tahun yang lalu, Xi Jinping yang masih menjawat jawatan sebagai pegawai kaunti Zhengding, provinsi Hebei buat kali pertama melawat AS, malah pernah mengambil gambar di Jambatan Golden Gate. Dalam lawatan tersebut, beliau menginap di rumah Dvorchak, seorang penduduk di Muscatine, Iowa. Ketika itu kebetulan anak Dvorchak sudah masuk universiti. Xi Jinping menginap dua malam di biliknya yang bertemakan Star Trek. Pada 2012, ketika menjawat jawatan sebagai Naib Presiden China, Xi kembali ke Muscatine untuk bertemu dengan kawan-kawan lama di sana. Xi menyatakan:
“Anda semua merupakan orang AS kumpulan pertama yang saya jumpa. Bagi saya, anda sekalian adalah AS.”
Oleh itu, meskipun hubungan China-AS menghadapi banyak cabaran pada beberapa tahun ini, Presiden Xi selalu yakin bahawa asas hubungan China-AS dalam kalangan rakyat dan persahabatan rakyat bakal menjadi penjana hubungan bilateral.
Ekonomi menjadi tali pengikat kedua-dua negara yang sudah jelas sukar diputuskan oleh agenda politik.
Meskipun AS mengenakan tarif tambahan terhadap import China, menyekat syarikat China dengan alasan keselamatan negara, dan suara “mencantas hubungan dengan China” semakin lantang sejak 2018, perdagangan dua hala mencipta rekod baharu, iaitu kira-kira USD760 bilion pada 2022.
Import produk pertanian dari AS turut mencatat rekod baharu, iaitu USD42 bilion. Setiap peladang AS secara purata mengeksport produk yang bernilai lebih USD13 ribu ke China. Ini menarik minat kerajaan AS yang buat pertama kali membuka Pavilion Makanan dan Pertanian AS semasa Ekspo Import Antarabangsa China(CIIE) pada tahun ini. Tambahan lagi, lebih 200 syarikat dari negara tersebut ikut serta dalam ekspo yang baru menutup tirai di Shanghai ini.
Presiden Xi pernah menyatakan hubungan ekonomi ibarat batu balast bagi hubungan bilateral China-AS. Beliau menyatakan, China dan AS mempunyai satu pertiga keseluruhan ekonomi dunia, satu perempat populasi dunia dan satu perlima keseluruhan perdagangan dunia. Kalau kedua-dua kuasa besar ini tidak bekerjasama, apakah impaknya terhadap dunia? Sejarah dan fakta telah membuktikan kerjasama China-AS bermanfaat bagi kedua-dua pihak, sebaliknya pergaduhan akan menjejaskan kita semua.