Trend Baharu Sambutan TBC
Pada zaman dahulu, pengangkutan di China terbatas, selain barang-barang juga berkurangan, sehingga setiap keluarga perlu membuat persiapan dengan membeli pelbagai barangan kira-kira sepuluh hari sebelum ketibaan Tahun Baharu Cina(TBC).
Dua puluh tahun yang lalu, ketika baru datang ke Beijing, saya mendapati penduduk tempatan suka berbaris panjang untuk membeli banyak kubis China sebelum TBC kerana di bahagian utara China memang tidak banyak bekalan sayur-sayuran pada musim sejuk.
Tetapi bagi generasi yang sebaya dengan Satria, selain pelbagai jenis sayuran yang mencukupi di pasar raya, kami juga boleh membeli ceri dari Chile dan durian dari Malaysia untuk dimakan pada cuti umum TBC. Terus terang, kami malas memasak sendiri untuk jamuan makan besar pada malam menjelang TBC, sebaliknya menempah bilik di restoran dan mengundang semua ahli keluarga berkumpul makan bersama-sama.
Pada zaman dahulu, orang China juga membeli barang-barang yang biasanya mereka tidak beli kerana berjimat cermat dalam perbelanjaan harian menjelang TBC. Di China ada beberapa “alasan” untuk memaafkan diri atau orang lain jika berbelanja di luar kebiasaan. Antaranya, termasuk “menjelang TBC”, “masih anak kecil” dan lain-lain. Misalnya tetamu biasanya akan membeli baju baharu untuk si kecil ketika menjelang TBC. Biasanya, kami akan cuba menolak sambil bersopan santun dan katakan, “Datang saja ke rumah kami, tak perlu membawa apa jua buah tangan.” Dan tetamu akan balas dengan “Menjelang TBC, ini barangan untuk si kecil saja”.
Hingga sekarang, ibu bapa Satria masih mengamalkan tradisi membeli baju baharu untuk si kecil, tetapi tidak mengizinkan baju itu dipakai sebelum hari pertama TBC.
Bagaimanapun, baju baharu yang dinantikan oleh generasi muda sekarang bukan untuk diri sendiri, sebaliknya untuk watak permainan dalam telefon bimbit. Permainan dalam telefon bimbit biasanya percuma, namun perlu membayar untuk kostum atau alat yang lain supaya mendapat pengalaman yang lebih seronok dalam permainan tersebut. Satu kostum biasanya berharga RM10 hingga RM100. Ibu bapa yang mengawal ketat pemainan kanak-kanak pula akan mengizinkan mereka membeli satu atau dua kostum khas untuk TBC dengan menggunakan angpau sebab ibu bapa generasi ini juga penggemar permainan elektronik.
Misalnya, permainan “Glory of Kings” yang pernah mengeluarkan 15 jenis kostum bagi cuti panjang TBC pada tahun 2023. Jualannya mencatat RM158 juta dalam tempoh tujuh hari itu.
Amalan balik ke kampung untuk menyambut TBC turut berubah. Dengan adanya jaringan pengangkutan seperti HSR, kini balik kampung bukan hal yang susah lagi. Satria boleh membawa si kecil balik ke kampung pada hujung minggu untuk berkumpul dengan nenek dan datuknya kerana jarak 1400km hanya mengambil masa empat jam dengan menaiki HSR.
Selain itu, sekeluarga melancong ke tempat lain bahkan negara lain juga menjadi pilihan baharu sempena cuti umum TBC.
Satria akan membawa keluarga ke Dali dan Lijiang di provinsi Yunnan yang cuacanya lebih nyaman serta adat resam dan budaya etnik minority tempatan berlainan dengan di Beijing untuk menyambut TBC tahun ini. Menurut agensi pelancongan, tempahan hotel dan destinasi pelancongan tempatan semasa musim perayaan TBC tahun ini sangat memberangsangkan.
Negara-negara Asia Tengara yang cuacanya lebih panas dan sudah mengecualikan visa bagi pelancong China juga menjadi pilihan ramai orang China. Menurut Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), jumlah penerbangan antarabangsa meningkat sebanyak 2,500 menjelang perayaan TBC, dan kebanyaknya ke Asia Tenggara.