Di Mana Hilangnya Pakar Isu China?
Baru-baru ini, The Washington Post menyiarkan rencana yang bertajuk “Where have all the American China experts gone?”
Pada hemat Satria, pakar Amerika Syarikat(AS) tentang China terakhir dan tersohor ialah Henry Kissinger yang telah pun meninggal dunia. Beliau pernah melawat China lebih 100 kali. Ketika beliau menjadi Setiausaha Negara AS, pertentangan ideologi jauh lebih serius berbanding pada zaman ini, tetapi pucuk pimpinan negara itu berani mengatasi halangan untuk memahami China. Namun, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kerajaan AS telah meletakkan halangan untuk mengganggu persefahaman kedua-dua negara.
Ekoran itu, timbul tokoh politik seperti George Santos yang berpendapat jika suara mengambinghitamkan China semakin lantang, kerjaya politiknya akan semakin cemerlang. Dengan mengada-adakan pelbagai dakwaan terhadap China, bahkan pembohongan, seperti “anak saudaranya diculik oleh perisik China selama 40 minit”, dia berjaya menjadi anggota Kongres. Walau bagaimanapun, polis tempatan akhirnya mendapati semua statusnya adalah palsu kecuali namanya.
“Pakar China” yang tersohor di AS kini adalah Gordon G. Chang yang meramalkan “China akan cepat hancur” sejak 2001 lagi. Meskipun China kekal berkembang dalam tempoh 20 tahun ini, pandangan Gordon G. Chang mendapat sambutan baik di AS dan beliau kerap muncul dalam program pelbagai stesen TV utama negara itu, malah pernah menjadi penasihat kerajaan AS. Namun, baru-baru ini ada netizen AS mempersoalkan di “Quora” adakah Gordon G. Chang ini perisik dari China sebab semua pandangan Gordon G. Chang tidak mempunyai bukti, sebaliknya sama dengan prasangka warga AS terhadap China dan ramalan AS terhadap “kehancuran China”.
Penulis rencana tersebut, Rory Truex, seorang pakar Universiti Princeton yang pernah melanjutkan pengajian di China serta berpengalaman menginap di rumah keluarga China dalam tempoh yang panjang sudah mengemukakan jawapan. Kongres negara itu yang membesar-besarkan ancaman China mengakibatkan kerajaan mengurangkan peruntukan bagi pengajian China.
Lantaran itu, sistem pendidikan AS tidak melahirkan ramai warga yang boleh memahami bahasa Mandarin, mempunyai pengalaman yang signifikan di China atau pengetahuan yang mendalam terhadap rantau itu.
Dewan Negara AS masih mengeluarkan amaran pelancongan peringkat ketiga untuk mengingatkan warganya agar “mempertimbangkan semua rancangan melancong ke China”. Sarjana-sarjana yang bidang pengajiannya berkaitan dengan China akan disiasat oleh kerajaan atau dikecam dalam media sosial.
Institut Confucius yang dahulu menyediakan pengajian bahasa Mandarin dan kebudayaan China dalam banyak kampus AS ditutup kerana didakwa berkaitan dengan kerajaan China. Sebaliknya di China setiap pelajar perlu belajar bahasa Inggeris. Kini, hampir semua generasi muda di China sedikit sebanyak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Setiap tahun terdapat kira-kira 300 ribu pelajar China melanjutkan pengajian ke AS. Ketidakseimbangan antara kedua-dua negara cukup mengejutkan.
Satria amat bersetuju dengan pandangan Rory Truex, ketika AS dan China menghadapi persaingan, yang penting bukanlah menambahkan peruntukan untuk senjata atau semikonduktor, sebaliknya menambahkan peruntukan untuk meningkatkan persefahaman.