Jom Tonton Gala Tahun Baharu Cina Malam Ini
Tinggal beberapa jam lagi Gala Tahun Baharu Cina akan disiarkan. Gala Tahun Baharu Cina mula ditayangkan oleh Stesen Televisyen Pusat China (CCTV) pada 1983. Gala ini bermula pada pukul 8.00 malam, hari terakhir setiap tahun menurut kalendar tradisional Cina dan akan menemani kami hingga kira-kira pukul 1 pada hari pertama Tahun Baharu Cina.
“Shou sui” yang bermaksud berjaga pada malam menunggu ketibaan tahun baharu adalah adat resam orang Cina ketika menyambut Tahun Baharu Cina. Hiburan tidak banyak pada masa itu, maka Gala Tahun Baharu Cina ini menjadikan malam itu cukup meriah dan penuh kegembiraan.
Ketika Gala Tahun Baharu Cina ditayangkan buat kali pertama, Satria baru berumur satu tahun. Pada masa itu, kebanyakan keluarga tidak memiliki televisyen. Oleh itu, sebenarnya kebanyakan orang mengikuti siaran Gala Tahun Baharu Cina ini melalui radio.
Ketika Satria mula belajar di tadika, ada ahli keluarga yang sudah memiliki televisyen. Jadi, pada setiap Tahun Baharu Cina kami akan berkumpul di rumahnya, duduk berbaris di depan televisyen dan menonton Gala Tahun Baharu Cina. Setelah keluarga Satria pula memiliki televisyen, Satria tidak sabar balik ke rumah sendiri untuk menonton Gala Tahun Baharu Cina setelah majlis jamuan besar keluarga. Satria tidak mahu terlepas satu minit pun.
Kini, pilihan hiburan untuk menemani kami semasa menjalankan “shou sui” sudah banyak. Banyak keluarga pula jarang membuka televisyen lagi sepanjang tahun. Malah, siaran langsung Gala Tahun Baharu Cina juga boleh ditonton melalui telefon pintar. Bagaimanapun, kebanyakan keluarga masih akan membuka televisyen pada hari ini awal-awal lagi, sambil makan atau berbual-bual dengan ahli keluarga. Gala Tahun Baharu Cina telah menjadi kebiasaan baharu bagi orang Cina untuk menyambut pesta yang paling penting ini. Kalau tiada Gala Tahun Baharu Cina, kami berasa ada sesuatu yang kurang.
Untuk menyediakan Gala Tahun Baharu Cina, ramai selebriti, penyanyi, penari, pemain opera atau akrobatik dan lain-lain mengadakan latihan keras sejak beberapa bulan yang lalu. Bagi penggiat seni, pemilihan mereka menyertai Gala Tahun Baharu Cina merupakan pengiktirafan paling tinggi dalam kerjayanya pada tahun ini.
Semua ini untuk menggembirakan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai etnik. Antara tetamu yang telah diundang oleh CCTV ke Beijing untuk menonton Gala Tahun Baharu Cina tahun ini termasuk Yi Qunlin, pekerja binaan yang menjadi tular di media sosial kerana bermain piano dengan memakai topi keselamatan dan baju yang kurang bersih. Selain itu, penjaga panda, Lao Tan dan polis komuniti, Ma Huailong yang belasan tahun bertugas ketika sambutan tahun baharu dan tidak sempat berkumpul dengan keluarga turut diundang pada tahun ini.
Satria yang masih bertugas pada hari ini juga tidak sabar hendak menonton persembahan menarik tahun ini. Satria juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Loong (Naga) kepada semua kawan-kawan. Semoga anda dan sekeluarga sihat dan bahagia.