Sektor Pelancongan Sempena Cuti Panjang TBC

2024-02-21 16:53:20  CRI
Share with:

Hari ini hari pertama Satria kembali bekerja pada Tahun Baharu Cina(TBC). Dalam tempoh cuti TBC yang cukup panjang ini, Satria telah membawa keluarga melancong ke Dali dan Lijiang, iaitu dua destinasi pelancongan yang tersohor di provinsi Yunnan, barat daya China.

 

Satria amat suka bercuti ke Dali, sebab di sana matahari terbit pada kira-kira pukul lapan. Setelah tidur lena, Satria boleh bangun dan duduk di beranda rumah penginapan desa di tepi Tasik Erhai dan menikmati pemandangan matahari terbit yang indah. Kami juga menyewa basikal dan motosikal elektrik untuk mengeliling tasik. Apabila pelancong semakin ramai pada waktu petang, kami memilih berhenti di sebuah kedai kopi, minum sambil menikmati waktu yang santai dan menyeronokkan.

 

Tauke kedai kopi memberitahu Satria, walaupun pelancong cukup ramai sempena cuti panjang TBC tahun ini, tetapi hanya 2/3 berbanding dengan tahun 2023. Pada awal tahun lalu, drama TV “Meet Yourself” ditayangkan dan segera menjadi tular di media sosial. Drama ini mengisahkan seorang gadis dari Beijing memilih inap desa selama tiga bulan setelah pemergian kawan baik dan akhirnya memulakan kehidupan yang baharu di sana. “Desa” dalam drama TV itu terletak di Dali, dan ini berjaya menarik lebih 95 juta pelancong melawat Dali pada tahun 2023, meningkat lebih 67% berbanding dahulu. Pada masa yang sama, pendapatan tempatan dalam sektor pelancongan mencatat lebih USD22 bilion, iaitu meningkat 104%.

 

Berbanding pelancongan yang santai di Dali, keadaan di Lijiang kurang menyeronokan sebab terlalu ramai pelancong! Kota Kuno Lijiang yang seluas kira-kira tujuh kilometer persegi, dibanjiri lebih 80 ribu pelancong pada waktu puncaknya dalam cuti panjang TBC kali ini.

 

Kalau melihat pengalaman Satria sendiri di sana, perjalanan bergerak lambat kerana mengikuti aliran pelancong saja. Namun, kami masih boleh bergerak kerana ramai polis telah ditempatkan untuk mencegah keadaan yang tidak diingini. Pihak poilis menyediakan talian garisan polis untuk memisahkan laluan pergi balik pelancong.

 

Bagaimanapun, Lijiang bukan antara destinasi pelancongan yang paling hangat dalam cuti panjang TBC ini. Bandar Harbin di provinsi Heilongjiang, utara China yang menjadi tular di media sosial sejak musim sejuk berjaya menarik lebih 10 juta pelancong dalam tempoh lapan hari. Pendapatan pelancongan juga mencatat USD2.4 bilion!

 

Kalau dilihat data seluruh negara, iaitu berdasarkan statistik Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, jumlah pelancong domestik mencatat 474 juta orang semasa cuti panjang TBC selama lapan hari, meningkat 19% berbanding 2019. Pendapatan pelancongan mencatat USD88 bilion, meningkat 7.7% berbanding tahun 2019.

 

Pada masa yang sama, kira-kira 3.6 juta pelancong China memilih melawat ke luar negara. Beberapa negara yang baru memberi pengecualian visa kepada pelancong China termasuk Malaysia, Singapura, Thailand menjadi destinasi pelancongan luar negara yang paling mendapat sambutan. Berdasarkan statistik platform Ctrip.com, tempahan pelancongan ke ketiga-tiga negara tersebut meningkat 30% berbanding 2019.