Perisitiwa Tolak Pengunjung China di Singapore Airshow Tidak Sepatutnya Berlaku
Singapore Airshow antara tiga pameran udara yang terbesar di dunia menarik minat media dan peminat pesawat China. Namun, ada pengunjung dari China mendedahkan di media sosial bahawa mereka ditolak malah diusir dengan kasar ketika hendak menaiki sebuah pesawat pengangkutan A400M buatan Airbus milik Tentera Udara Jerman pada hari terbuka pameran tersebut.
Bagi Satria, hal ini tidak sepatutnya berlaku. Yang pertama, A400M bukan kelengkapan ketenteraan yang canggih. A400M adalah pesawat pengangkutan taktik buatan bersama beberapa negara Eropah sedangkan China sudah ada pesawat pengangkutan strategik yang lebih besar buatan sendiri.
Yang kedua, banyak negara telah menggunakan A400M, termasuk Malaysia. Ramai peminat pesawat telah melihat pesawat yang sama dari TUDM di Pameran Udara Langkawi secara dekat. Malah A400M dari Sepanyol dan Turkiye pernah mendarat di China. Oleh itu, A400M bukanlah rahsia bagi pengunjung China.
Yang ketiga, tiada peraturan yang melarang warganegara tertentu mendekati pesawat itu pada hari terbuka Singapore Airshow.
Oleh itu, sikap staf Airbus dan anggota tentera Jeman berkenaan hanya boleh disifatkan sebagai diskriminasi.
Airbus telah mengeluarkan kenyataan melalui akaun rasmi di media sosial China bahawa pihaknya segera menghubungi pelbagai pihak berkenaan setelah dimaklumkan perisitiwa tersebut dan menjamin pesawat tersebut terbuka kepada semua pengunjung. Airbus juga menegaskan hubungan kerjasama yang baik dengan sektor penerbangan di China.
Bagaimanapun, perisitiwa ini mencerminkan kejanggalan sikap beberapa negara Eropah terhadap China pada beberapa tahun ini walaupun mereka faham dengan jelas China adalah rakan dagang penting. Beberapa syarikat China membeli 432 buah pesawat Airbus pada tahun 2022. Sudah tentu Airbus tidak mahu hubungannya dengan China terjejas. Hakikatnya, tiada konflik strategik antara China dengan Eropah.
Namun, Eropah terpengaruh oleh Amerika Syarikat yang mengambil sikap semakin bermusuh dengan China. Ini sudah tentu juga mempengaruhi orang ramai, termasuk staf Airbus dan anggota tentera Jerman.
Kesatuan Eropah mengemukakan konsep “de-risking” ketika menyebut tentang hubungan dengan China, dan menegaskan bukan “decouple” dengan China. Sebenarnya ini permainan kata semata-mata. Majalah Foreign Affairs AS telah membantu menjelaskan maksud “de-risking”, iaitu menyekat perkembangan dan pengaruh China dalam bidang sains dan teknologi, rantaian bekalan dan juga pasaran.
Menurut pandangan Barat, hanya China yang ketinggalan dapat terus membeli barangan daripada mereka. Begitu juga halnya dengan semua negara membangun.