Kapal Pengangkut pesawat Ketiga China Diberi Nama Fujian Amat Bermakna
Kapal pengangkut pesawat ketiga China yang diberi nama Fujian berjaya menamatkan ujian pelayaran sulungnya kelmarin. Seperti Liaoning dan Shandong yang dipilih sebagai nama kapal pengangkut pesawat China yang pertama dan kedua, nama Fujian juga dipilih kerana berkait rapat dengan perkembangan tentera laut China. Fujian merupakan titik permulaan tentera laut moden China.
Memetik artikel Presiden Xi Jinping dalam akhbar Le Figaro pada Ahad, beliau mengatakan bahawa pada lebih 150 tahun yang lalu, orang Perancis telah menyertai penubuhan Sekolah Perkapalan Fujian.
Pada tahun 1866, selepas beberapa kali diceroboh oleh negara-negara barat, kerajaan Dinasti Qing memutuskan untuk menubuhkan tentera laut moden. Pihaknya kemudiannya memeterai kontrak dengan dua orang pegawai tentera laut Perancis untuk membina 16 kapal moden dan memindahkan teknologi bagi reka bentuk, pembuatan, pengendalian kapal perang moden serta komando armada dalam tempoh 1869 hingga 1874.
Menerusi usaha kedua-dua pihak, sistem pembuatan kapal moden berjaya diselesaikan dalam tempoh lima tahun tersebut. Bahkan China berjaya mengeluarkan kruiser tempur pertama di Asia.
Bukan itu sahaja, Sekolah Perkapalan Fujian juga menyediakan modul pembelajaran dalam bahasa Perancis dan Inggeris sekaligus melahirkan ramai kapten dan jurutera tersohor dalam sejarah China seperti Deng Shichang, Sa Zhenbing dan Zhan Tianyou.
Fujian telah menyaksikan “kewujudan” tentera laut moden China selain saksi persahabatan antara China dengan Perancis. Kapal pengangkut pesawat ketiga China yang juga kapal pengangkut pesawat kedua di dunia yang menggunakan sistem pelancaran electromagnet yang diberi nama Fujian ini, sememangnya amat bermakna.
Kerajaan Dinasti Qing telah menyedari bahawa tentera moden diperlukan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Namun, walaupun mempunyai pasukan armada No.1 di Asia dan No.6 di dunia pada masa itu, ia tidak menafikan kedudukan Dinasti Qing yang semakin merosot dan kemudiannya digulingkan. Belanjawan untuk tentera laut dialihkan bagi membina Summer Palace sebagai “hadiah” hari lahir Permaisuri Cixi. Bahkan jumlah peluru pun tidak cukup bagi armada China melawan pencerobohan Jepun dalam perang laut pada 1894.
Kini, China sekali lagi mengeluarkan kapal perang yang paling besar di Asia, tetapi kami sedar bahawa kapal pengangkut pesawat Fujian ini masih jauh dibelakang dari sudut teknologi, muatan, pengalaman dan jumlahnya jika dibandingkan dengan kapal pengangkut pesawat dari Amerika Syarikat(AS). Justeru tentera China akan meneruskan usaha untuk menghasilkan kuasa tempur yang lebih baharu dan berkualiti.
China masih dengan misi yang sama seperti 150 tahun yang lalu iaitu untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan wilayah dan keamanan serantau. Namun kapal pengangkut pesawat China tidak akan ditempatkan ke seluruh dunia, seperti yang dilakukan AS.