Mengapa Guan Gong Muncul dalam Pesta Tibet?

2024-07-01 15:05:47  CRI
Share with:

Baru-baru ini Satria menonton satu klip video yang memaparkan satu pesta di Tibet. Dalam pesta tersebut penduduk-penduduk tempatan melakonkan watak dewa dewi etnik Tibet yang menari-nari bagi meraikan pesta tersebut. Dalam klip video tersebut juga kelihatan seorang dewa dengan muka berwarna merah sambil memegang satu senjata berupa sebilah parang dengan pemegang yang panjang. Adakah itu Guan Gong? Guan Gong merupakan Jeneral Negeri Shu pada zaman Tiga Negeri (220-280) dan didewakan ekoran sifatnya yang gagah, berani dan setia. Namun, kenapa Guan Gong muncul dalam kalangan etnik Tibet? Ia sangat menarik tumpuan saya.

 

Selepas membuat sedikit penyelidikan dan pembacaan, Satria dapati catatan terawal yang memperlihatkan Guan Gong muncul dalam pesta Agama Lama anjuran Kublai Khan di Beijing adalah pada tahun 1270. Manakala, Kuil Guan Gong banyak muncul di Tibet selepas pentadbiran Maharaja Qianlong(1736-1796) pada Dinasti Qing.

 

Dalam catatan sejarah, pada 1971 ketika orang Gurkha menyerang Tibet, mereka merampas harta dari Kuil Zhabulun serta ternakan-ternakan yang ada di situ. Malah mereka turut menawan tiga kaunti di Tibet. Tindakan ini telah membuatkan Maharaja Qianlong murka, baginda kemudiannya segera menghantar pasukan dan berjaya menawan semula wilayah yang telah diduduki selama 30 hari itu. Manakala Guan Gong yang merupakan kepercayaan ramai askar tentera Maharaja Qianlong menjadi semakin popular di Tibet dan kemudiannya bersatu dengan dewa tempatan.

 

Guan Gong yang ada di Tibet secara tidak langsung telah mencerminkan Tibet di bawah pentadbiran kerajaan pusat China sejak sekian lama, bahkan pelbagai etnik yang ada di sana, hidup bersama dengan sikap saling menghormati budaya masing-masing. Ia sekali gus menyaksikan  budaya banyak etnik telah bergabung sejak zaman purba di sana.

 

Etnik Tibet hidup secara harmoni dengan pelbagai etnik di China. Ekonomi tempatan yang makmur telah membawa kepada kemaslahatan budaya etnik Tibet yang sentiasa terpelihara dan terus berkembang. Malah huruf bahasa Tibet boleh dilihat di mana-mana sahaja termasuk papan-papan tanda jalan.

 

Pada minggu lalu, Presiden China Xi Jinping telah meninjau ke Kuil Lama Hongjue di provinsi Qinghai untuk memahami perkembangan agama selain menggalakkan masyarakat Agama Lama untuk mencintai negara serta memberi sumbangan kepada perpaduan dalam kalangan etnik yang pelbagai.

 

Duta Besar Amerika Syarikat ke China, Nicholas Burns baru-baru ini melawat ke Shangri-la di provinsi Yunnan, dan dalam gambar yang dikongsikan di akaun media sosialnya, beliau menyampaikan ucapan terima kasih atas kemesraan dan keramahan Qimen Zhuoga, Pegawai Daerah Autonomi Tibet Diqing yang menemaninya berjalan-jalan menikmati keindahan Yunnan.

 

Namun mengecewakan kerana Nicholas Burnas tidak melaporkan penghayatannya di Yunnan kepada Washington, adakah ini tidak penting bagi mereka? Kongres AS baru-baru ini telah meluluskan akta yang memberi mandat kepada kerajaan untuk membantah “maklumat palsu China mengenai sejarah dan kedudukan undang-undang Tibet”.

 

Jadi adakah maksudnya sejarah dan kedudukan undang-undang Tibet tidak perlu mengikut catatan sejarah China? Sebaliknya berdasarkan sejarah dan undang-undang AS? Ini ternyata sesuatu yang lucu dan tidak masuk akal kerana ketika Tibet berada di bawah pentadbiran kerajaan pusat China, Amerika Syarikat masih belum wujud.