Jom Nikmati Tarian Singa di Genting Highland
Dalam banyak hasil lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia kali ini, yang paling menarik dan di luar jangkaan Satria adalah kedua-dua negara bersama-sama memohon agar tarian singa diangkat sebagai warisan budaya tidak ketara UNESCO.
Tarian singa sebenarnya berasal dari China, dan dibahagikan kepada dua gaya yang kostumnya berbeza iaitu “singa gaya selatan” yang popular di sekitar provinsi Guangdong dan “singa gaya utara” yang popular di kawasan provinsi Shandong. Manakala di kampung halaman Satria yang terletak di kawasan mengalirnya Sungai Yangtze, persembahan tarian singa memang jarang kelihatan. Satria pertama kali menyaksikan tarian singa adalah ketika berlangsungnya sambutan Hari Pavilion Malaysia di Ekspo Shanghai tahun 2010. Pada waktu itu, pasukan tarian singa dari Kun Seng Keng telah memberikan persembahan yang amat hebat dihadapan ribuan pengunjung.
Berikutan ramai penduduk China yang berhijrah ke Asia Tenggara sejak Dinasti Ming(tahun 1368 hingga 1644) dan Qing(tahun 1616 hingga 1912), maka tarian singa turut tersebar ke negara-negara tersebut. Kini, meskipun tarian singa sinonim dengan komuniti Cina di seluruh dunia, namun Malaysia merupakan antara negara yang paling aktif dan meriah dengan tarian singa.
Menarik tumpuan generasi muda terhadap budaya tradisional adalah cabaran di seluruh dunia. Beberapa tahun kebelakangan ini, dengan adanya media sosial, tarian singa yang disambut meriah di bahagian selatan ketika sambutan Tahun Baharu Cina, menjadi tular. Filem animasi “I Am What I Am” pada 2021 sedikit sebanyak telah membantu ramai kanak-kanak memahami semangat tarian singa. Bagaimanapun pengetahuan mengenai tarian singa sebenarnya masih terhad.
Secara kebetulan, Satria sempat bertemu dengan delegasi Persatuan Tarian Naga dan Singa Malaysia yang dipengerusikan oleh Leong Lik Thong, yang berusia 88 tahun di Beijing pada hujung minggu lalu. Ketika ditemui, beliau teruja menceritakan mengenai perkembangan tarian singa di Malaysia. Pada waktu itu, saya baru faham bagaimana tarian singa berkembang dengan makmur di Malaysia. Ini mencerminkan perjuangan kaum Cina di seberang laut yang sentiasa berusaha mempertahankan tradisi dan budaya sendiri.
Amat bertuah sekali, Malaysia sebagai negara majmuk telah memberi ruang yang besar kepada budaya tradisional kaum Cina termasuk tarian singa, hingga kedua-dua negara bersedia untuk bersama-sama memohon tarian singa sebagai warisan budaya tidak ketara UNESCO. Manakala, sasaran lebih besar Leong Lik Thong adalah untuk menjadikan tarian singa sebagai salah satu acara Sukan Olimpik pada masa depan.
Pengarah Persatuan Tarian Singa Malaysia, Fong Kong Yip memberitahu Satria bahawa tarian singa kini telah berkembang menjadi sejenis sukan yang semakin standard dan mempunyai daya tarikan yang lebih luas. Kini ramai belia dari kaum Melayu dan India yang berminat untuk terlibat aktif dalam tarian singa. Malah mereka juga banyak kali diundang oleh Amerika Syarikat serta beberapa negara lain, untuk memberikan kursus mengenai latihan dan penilaian.
Manakala Pengarah Tarian Naga dan Singa, Gabungan Persatuan-Persatuan Tarian Naga dan Singa Selangor dan Wilayah Persekutuan, Hooi Kok Hong berkata latihan tarian singa kini juga berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Katanya, ketika beliau masih kecil, beliau perlu berlatih kung fu asas selama lima tahun, kemudian baru diizinkan oleh Shifu untuk menyentuh kepala singa. Sebaliknya kini menggunakan pelbagai saluran untuk menarik tumpuan dan minat golongan belia.
Lebih istimewa, Pertandingan Tarian Singa Kebangsaan ke-20 bakal diadakan di Genting Highland, Malaysia berjaya menarik penyertaan lebih 80 pasukan. Justeru Satria berharap, suatu hari nanti berpeluang untuk membawa keluarga ke sana, untuk menikmati budaya tradisional China yang bersejarah dan berkembang luas di Malaysia.