PM China, Itali Adakan Rundingan

2024-07-29 13:47:45  CRI
Share with:

China bersedia bersama dengan Itali memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, dan mendorong hubungan bilateral berkembang ke arah yang lebih matang dan stabil supaya dapat mencetuskan prospek yang lebih memberangsangkan bagi usaha memperhalusi pelaksanaan projek kerjasama dua hala. 


Perdana Menteri China, Li Qiang berkata demikian dalam rundingan dengan rakan sejawatnya dari Itali, Giorgia Meloni di Dewan Besar Rakyat di Beijing petang Ahad.


"Kedua-dua pihak dikehendaki melalui Jawatankuasa Kerajaan China-Itali dan platform dialog yang melibatkan pelbagai bidang meningkatkan perdagangan dua hala, di samping menggalakkan perkembangannya ke arah yang optimum. Tumpuan juga perlu diberi ke peningkatan kerjasama yang saling menguntungkan dalam bidang pembuatan kapal, penerbangan angkasa, sumber alternatif dan kecerdasan buatan, beserta yang membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bidang sosiobudaya.


"China menyokong syarikat domestik menjalankan kerjasama di Itali, dan berharap agar mereka boleh memanfaatkan ekosistem perniagaan yang saksama, selamat dan tanpa diskriminasi di negara itu," kata Li.


"Kesatuan Eropah (EU) diharap melihat isu pembangunan China secara objektif dan rasional, mengekalkan perkongsian dengan China, merancakkan dialog dan kerjasama yang terbabit, menggalakkan perkembangan hubungan dengan China ke arah yang stabil dan sihat, dan sinergi dengan China menyahut cabaran dalam senario global," tambah beliau.


Meloni dalam rundingan itu pula menyatakan bahawa Itali bersedia memainkan peranan yang aktif dalam membantu China dan EU mengadakan dialog yang terus terang dan bersifat membina untuk memacu perkembangan hubungan kerjasama yang lebih stabil.