Juncao : Penguat Hubungan China-Afrika
Dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Comoros, Azali Assoumani, Presiden China, Xi Jinping menyatakan rasa gembira apabila mengetahui drama TV China “Minning Town” mendapat sambutan yang cukup hangat di Comoros. Katanya drama tersebut menonjolkan pengalaman dan usaha membasmi kemiskinan di kawasan barat laut China. Meskipun jarak kedua-dua negara jauh, namun aspirasi rakyat adalah sama, iaitu untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Presiden Comoros, Azali Assoumani kini dalam rangka lawatan ke Beijing, sempena menghadiri Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika 2024.
Berbalik kepada drama TV “Minning Town”, “Min” merupakan singkatan kepada provinsi Fujian yang terletak di kawasan pesisir pantai Laut China, manakala “Ning” adalah singkatan kepada Wilayah Autonomi Hui Ningxia, yang masih di tahap kemiskinan pada 1990-an. Menerusi dasar bantuan secara berpasangan yang diperkenalkan China pada waktu itu, Fujian telah membantu memindahkan kampung yang dahulunya berada di kawasan gurun, ke kawasan pantai Sungai Kuning. Kemudian, pakar teknikal dari Fujian datang ke kampung tersebut dan mempromosikan teknologi penanaman “Juncao”, sejenis rumput yang boleh menjadi makanan haiwan ternakan, mengawal ketandusan tanah, bahkan sesuai untuk penanaman cendawan. Ia sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
Lebih Istimewa lagi, insan yang menjayakan program tersebut adalah Presiden Xi Jinping sendiri, yang pada waktu itu merupakan pemimpin bagi provinsi Fujian.
Ketua Pengarah Stesen TV Rwanda, Kennedy Munyangeyo sebelum ini pernah mengulas mengenai drama TV “Minning Town”. Katanya beliau melihat pegawai kerajaan, pakar teknikal dan penduduk tempatan berganding bahu untuk membasmi kemiskinan.
Hakikatnya, bukan hanya drama TV “Minning Town” yang popular di negara-negara sekitar benua Afrika, malah “Juncao” yang digelar sebagai “rumput bahagia” turut menyumbang kepada usaha membasmi kemiskinan di kawasan tersebut sejak 1990-an. Pakar teknikal yang menemukan “Juncao” iaitu Lin Zhanxi, kini sudah berusia lebih 80 tahun dan masih aktif bersama-sama penduduk Rwanda dan beberapa negara Afrika yang lain, mengawasi penanaman “Juncao”.
“Rumput bahagia” bukan hanya menjadi ikatan persabahatan antara Fujian dengan Ningxia, malah turut menjadi penguat persabahatan antara China dengan Afrika, menyaksikan usaha rakyat kedua-dua negara berjuang untuk kehidupan yang lebih baik.