Al Jazeera Kini 'Serupa' dengan BBC dan CNN?

2024-10-30 14:45:15  CRI
Share with:

Ketika menonton video temu ramah wartawan Al Jazeera di Amerika Syarikat, Mehdi Hassan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Satria terfikir, gaya temu bual yang ditunjukkan oleh Mehdi serupa dengan wartawan CNN dan BBC yang kelihatan agak agresif dan provokatif mengenai hal ehwal dalam dan luar negara Malaysia. Maka  percakapan Datuk Seri Anwar  Ibrahim selalu diganggu oleh Mehdi.

 

Apa yang Satria tahu, Al Jazeera selalu menyifatkan dirinya sendiri sebagai media alternatif kepada dominasi media Barat seperti CNN dan BBC. Malah mereka akan mengeluarkan laporan naratif sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu.

 

Satria juga pernah melakukan temu ramah eksklusif dengan pegawai kanan dari Malaysia seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Mengikut segala etika kewartawanan, Satria pasti sentiasa beradab dan menghormati tokoh-tokoh tersebut kerana mereka lebih bijak dan berpengalaman. Saya juga mengeluarkan pandangan sendiri mengenai isu yang menjadi fokus kedua-dua negara, namun itu adalah untuk mendapat respons dan pandangan dari tokoh-tokoh politik bagi pihak Malaysia.

 

Justeru itu, Satria membuat sedikit sebanyak kajian tentang latar belakang Mehdi Hasan. Meskipun seorang Muslim, Mehdi lebih suka menampilkan diri sebagai wartawan Amerika Syarikat yang berasal dari Britain. Difahamkan, kebanyakan pengalaman kerjanya terkumpul di media Barat seperti BBC, Sky, The Huffington Post, MSNBC dan The Guardian. Bermula pada 2012, Mehdi berkhidmat untuk Al Jazeera edisi Bahasa Inggeris dan berpangkalan di Washington D.C sejak 2015.

 

Saya juga ada menonton video temu bual antara Mehdi Hasan dengan pakar dari China seperti Zhang Weiwei dan Charles Liu Yangsheng. Meskipun mempunyai latar belakang budaya dan agama yang berbeza, namun sikap sombong yang ditunjukkannya tidak berbeza dengan wartawan Barat yang sentiasa mengulangi soalan bodoh seperti, mengapa China tidak mengamalkan sistem demokrasi, mengapa China mencabar tadbir urus global yang berasaskan peraturan, mengapa belanjawan ketenteraan China meningkat dengan pesat dan banyak lagi.

 

Dapat dilihat, Al Jazeera mengupah ramai staf berpengalaman dari media Barat sejak penubuhannya. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan reputasi Al Jazeera dengan lebih cepat, namun juga menjadi punca kegagalan media ini untuk “menjadi alternatif kepada  dominasi media Barat seperti CNN dan BBC, selain mengeluarkan laporan naratif sendiri”.

 

Pastinya ini berkaitan campur tangan Barat yang menyekat dan mengubah Al Jazeera. Pada 2011, Ketua Pengarah Al Jazeera, Wadah Khanfar meletakkan jawatan selepas berdepan dakwaan berkait rapat dengan CIA.

 

Kini, Al Jazeera dilihat menjadi media yang lebih bergaya Barat. Justeru, kita perlu belajar dari situasi ini.