Terima Kasih Untuk Baju Hujan Percuma Di Stesen Subway!

2024-08-05 13:57:47  CRI
Share with:

Baru-baru ini ada pelancong yang datang ke Beijing, memuat naik gambar dan video di media sosial mengenai kisah mereka di sana. Ketika ingin keluar dari stesen subway, mereka tidak menyangka cuaca hujan. Namun yang mengejutkan mereka ialah, polis dan staf subway Beijing memberikan mereka baju hujan pakai buang. Situasi ini amat memeranjatkan mereka kerana, pada fikiran mereka polis yang ditempatkan di sana hanya bertugas untuk mengawal keselamatan.

 

Memasuki musim panas, cuaca terus berubah, dan hujan lebat sering turun secara tiba-tiba. Situasi ini bukan sahaja mengganggu rancangan perjalanan para pelancong yang membanjiri bandar bersejarah ini sempenan cuti sekolah musim panas, tetapi juga para penduduk tempatan yang sudah lama tinggal di Beijing.

 

Beberapa bulan yang lalu, Satria dan Isa, seorang staf asing yang juga merupakan rakan sepejabat, menaiki subway untuk pergi ke sebuah hotel penginapan seorang pegawai kanan Malaysia yang dalam rangka lawatan ke Beijing, untuk melakukan temu ramah eksklusif. Namun, ketika hendak keluar dari stesen subway, kami mendapati hujan sangat lebat. Namun kami bertuah kerana semua penumpang yang terkandas di stesen tersebut diberikan baju hujan pakai buang, kami juga dapat satu setiap seorang. Ini sekali gus menjamin tugasan kami untuk melakukan temu ramah eksklusif tidak terganggu meskipun cuaca hujan lebat.

 

Satria juga tidak ingat bilakah perkhidmatan seperti ini bermula, namun ia jelas membantu melancarkan segala kegiatan atau agenda penumpang-penumpang subway untuk ke sesuatu tempat. Di stesen subway dapat dilihat, orang ramai diam sahaja ketika diberikan baju hujan tersebut oleh polis dan staf subway, ini tabiat orang China yang biasanya tidak menyampaikan perasaan mereka secara langsung. Namun di media sosial, mereka semua memuat naik hantaran yang memuji petugas-petugas di stesen subway atau staf pentadbiran awam secara keseluruhannya.

 

Ketika melayari pelbagai platform, Satria mendapati perkhidmatan ini sebenarnya sudah banyak dicontohi oleh banyak bandar seperti Zhenzhou, Shenyang, Guangzhou dan Hohhot.