Jom Melancong “Bersama” Wukong di China
Minggu lalu Satria membawa si kecil melancong ke provinsi Henan yang kaya dengan tinggalan sejarah seperti Kuil Gunung Tengah dan Gua Pahatan Batu Yungang yang dipenuhi dengan arca pahatan batu Buddha dan tokoh terkenal agama Buddha. Namun tanpa disangka-sangka, dalam pelancongan kali ini saya dapat melihat banyak patung-patung asli yang mirip dengan grafik yang dipaparkan di dalam permainan popular Black Myth: Wukong.
Sebenarnya, syarikat GAME SCIENCE telah memasukkan banyak bangunan bersejarah China di dalam permainan Black Myth: Wukong. Justeru, disebabkan permainan tersebut yang begitu popular, ramai pelancong memilih untuk berkunjung ke destinasi-destinasi yang dipaparkan di dalam Black Myth: Wukong.
Antara banyak tempat, provinsi Shanxi merupakan yang paling popular. Ini kerana, dikatakan antara 36 buah bangunan bersejarah yang ditonjolkan di dalam permainan tersebut, 27 daripadanya ada di Shanxi. Ini sekaligus melonjakkan pelancongan tempatan, yang dahulunya kurang mendapat perhatian. Malah, berdasarkan statistik, pencarian mengenai Shanxi meningkat 156% pada 20 Ogos iaitu pada tarikh Black Myth: Wukong dirasmikan. Jualan tiket untuk satu lagi destinasi terbabit meningkat 3 kali ganda pada hari yang sama.
Malah terdapat ramai pelancong dalam kalangan penggemar permainan tersebut, memanfaatkan cuti sekolah musim panas ini untuk melawat Shanxi. Salah satu lokasi yang popular iaitu Kuil Yuhuang. Kuil ini mempunyai arca dewa dewi dan diperlihatkan di dalam permainan tersebut. Oleh kerana itu, jumlah pelancong ke kuil ini pada musim panas telah mencipta rekod baharu, dengan 40% daripadanya melawat kuil tersebut kerana Black Myth : Wukong.
Bukan itu sahaja, ada juga yang mencadangkan kepada Jabatan Pelancongan Shanxi, untuk menyediakan itinerari pelancongan ke 27 destinasi yang ditunjukkan di dalam permainan tersebut, kerana mereka percaya ia dapat menarik perhatian pelancong.
Jabatan Pelancongan di pelbagai tempat lain seperti Chongqing, Fujian, Sichuan dan Hebei, turut menggunakan peluang ini untuk mempromosikan lokasi pelancongan dan destinasi sejarah kawasan masing-masing.
Satria kini juga merancang untuk memanfaatkan cuti hujung minggu untuk membawa si kecil ke Shanxi kerana destinasi ini tidak jauh dari Beijing. Supaya kami dapat lebih mendalami budaya dan sejarah tempat tersebut, selain lebih faham ketika saya bermain Black Myth: Wukong.