Tikus, Kembalikan Kepala Buddha!

2024-08-28 14:52:09  CRI
Share with:

Selepas bermain Black Myth: Wukong selama seminggu, Satria akhirnya berjaya memasuki episod ke-2 yang munculnya watak Buddha Lingji. Watak ini semakin popular di media sosial asing kerana menyanyikan lagu tradisional China dengan gaya seakan “Rap”.

 

Dalam episod ini, memaparkan kepala Buddha Lingji yang dipenggal dan “dicuri” oleh “Hantu Tikus”. Namun yang mencuri perhatian netizen adalah, kepala Buddha Lingji yang didakwa mirip dengan satu kepala patung Buddha China yang kini “disimpan” dalam The British Museum.

 

Jika melihat betul-betul di dalam permainan Black Myth: Wukong, anda akan mendapati banyak patung Buddha yang tiada kepala. Ini kerana, syarikat pengeluaran permainan tersebut telah mengadaptasi banyak bangunan kuno serta ukiran dan patung yang asli untuk diletakkan dalam Black Myth: Wukong. Malah, Satria saksikan sendiri situasi ini ketika melancong ke Gua Longmen di bandar Luoyang pada dua minggu lalu. Banyak kepala patung Buddha yang dicuri oleh “penjelajah Barat” pada lebih seratus tahun yang lalu dan kini “disimpan” dalam muzium di Britain, Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara lain.

 

Di China, kami memanggil mereka yang melakukan perkara tidak bermoral ini sebagai “golongan tikus”. Namun Satria tidak pasti, adakah syarikat pengeluaran permainan ini sengaja mencipta watak “Hantu Tikus” yang mencuri kepala Buddha sebagai simbolik kepada tindakan negara-negara penjajah, namun yang pasti perkara ini telah berjaya menarik tumpuan ramai terhadap fakta yang mungkin ramai tidak tahu, iaitu, lebih 200 buah muzium di 47 buah negara sedang menyimpan 1.64 juta aset atau tinggalan sejarah China, yang kebanyakannya dirampas, dicuri atau diseludup dari negara ini.

 

Dengan pengaruh dari permainan Black Myth: Wukong yang semakin popular,  netizen dari seluruh dunia kini menyeru The British Museum untuk memulangkan pelbagai aset atau tinggalan sejarah ke negara asal masing-masing. Malah, tindakan memotong kepala Buddha ini merupakan satu tindakan yang jelas tidak menghormati tamadun dan budaya negara lain. Janganlah “menyimpan” hasil curi dengan alasan “pelindungan budaya”.