Penonton China Mula Cerewet Terhadap Filem Hollywood?
Jualan tiket filem Alien: Romulus catat USD75 juta di China, sekaligus mengatasi Amerika Utara, yang merupakan pasaran terbesar bagi filem Hollywood tersebut.
Hakikatnya, Satria bukanlah peminat tegar filem seram dan rasanya tiada keperluan untuk mengeluarkan duit semata-mata untuk “mewujudkan” ketakutan dalam diri. Namun, pada musim panas ini, Satria telah menonton banyak filem, antaranya Inside Out 2, Despicable Me 4, The Legend, Successor, Deadpool & Wolverine, White Snake: Afloat dan The Traveller. Yang pasti, menonton filem-filem animasi seperti di atas, bukanlah satu pilihan, sebaliknya hanya menemani si kecil mengisi masa terluang ketika cuti sekolah musim panas. Si kecil berkata, antara semua filem animasi yang ditonton, hanya White Snake: Afloat yang berjaya membuat Satria membuka mata sehingga tamat tayangan. Filem ini dihasilkan berdasarkan satu mitos tradisional China.
Bagi Satria, filem-filem yang menarik adalah seperti The Legend kerana ia dilakonkan oleh Jackie Chan. Successor pula kerana filem bergenre komedi yang sesuai ditonton oleh seluruh keluarga, filem The Traveller pula kerana ia berasaskan animasi China yang sangat popular dan juga filem Deadpool & Wolverine, kerana Satria merupakan penggemar Marvel dan DC, dan filem ini turut menampilkan ramai watak klasik yang pernah Satria tonton kira-kira 15 tahun yang lalu. Pada waktu itu merupakan zaman emas bagi filem Hollywood di China.
Satria merupakan penggemar filem, malah sejak sekolah menengah Satria memang suka menonton filem Hollywood. Bagi Satria, hanya filem Hollywood yang wajar ditonton di pawagam kerana filem China pada waktu itu tidak begitu menarik. Jadi Satria hanya tunggu tayangan filem tersebut di saluran televisyen sahaja. Pada waktu itu, Satria sanggup membeli DVD filem Hollywood, supaya dapat ditonton berulang kali.
Namun kini zaman telah berubah. Jika dilihat kepada senarai 10 filem yang mendapat jualan tiket tertinggi di seluruh dunia, majoritinya adalah filem sequel (susulan). Malah sebelum ini Satria pernah “mempromosi” filem Deadpool & Wolverine kepada seorang kawan. Dia kemudiannya bawa isterinya ke pawagam untuk menonton filem tersebut, namun katanya isterinya hampir tertidur apabila menonton filem itu. Cerita adiwira dari Marvel dan DC kini dilihat semakin membosankan penonton China. Kini, kami lebih menantikan filem adiwira sendiri seperti yang digambarkan dalam animasi The Outcast.
Tahun ini, jualan tiket filem bagi pasaran China mencatatkan lebih USD4.5 bilion. Malah, 3 daripada 10 filem dengan jualan tiket tertinggi di dunia pada tahun ini adalah filem dari China. Manakala, dalam senarai 10 filem dengan jualan tiket tertinggi di China, hanya terdapat satu filem dari Hollywood iaitu Godzilla x Kong: The New Empire.
Seiring dengan perkembangan ekonomi China, industri permainan, filem dan beberapa industri lain turut menyaksikan perkembangan yang baik. Malah jika dilihat, para penonton di China juga semakin cerewet. Jika kualiti filem yang dihasilkan baik, filem seram seperti Alien: Romulus yang biasanya menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja juga mampu mencatat jualan yang memuaskan di pasaran China. Bagaimanapun kami lebih menantikan filem tempatan dengan kualiti yang baik seperti The Wandering Earth dan Creation of The Gods.