Hayati Tamadun China di Gua Yungang

2024-09-29 14:31:28  CRI
Share with:

Di China terdapat empat gua pahatan batu agama Buddha yang tersohor, iaitu Gua Mogao Dunhuang dan Gua Bukit Maiji di provinsi Gansu, Gua Yungang di provinsi Shanxi serta Gua Longmen di bandar Luoyang provinsi Henan.

 

Hujung minggu lalu Satria sempat melawat ke Gua Yungang di bandar Datong, provinsi Shanxi yang mula dibina kira-kira 1600 tahun yang lalu. Setakat ini antara empat gua tersebut, hanya Gua Bukit Maiji yang belum sempat saya lawati.

 

Dari Dunhuang ke Bukit Maiji, Datong akhirnya di Luoyang, telah memperlihatkan penyebaran budaya agama Buddha mengikut Jalan Sutera. Hingga ke hari ini, Satria masih berkesempatan menyaksikan patung Buddha dengan seni ukir Gandhara di Gua Yungang yang jelas dipengaruhi oleh penaklukan Maharaja Alexander sehingga ke India. Juga terdapat ukiran di tiang gua yang mempunyai pengaruh dari Parsi dan Yunani Purba.

 

Semua ini memperlihatkan kehebatan tukang ukir China pada 1600 tahun lalu, yang mahir menggabungkan seni dari Timur dan Barat.

 

Melalui perbezaan seni ukir antara pelbagai gua dan patung, saya juga dapat menghayati kehidupan pelbagai puak terdahulu serta pembentukan bangsa China berikutan perkembangan sejarah negara tembok besar ini.

 

Raja yang bertitah untuk membina Gua Yungang berasal dari puak pengembara Xianbei dari timur laut China dan telah menubuhkan kerajaan Wei Utara (386534) dengan Datong sebagai ibu kotanya.

 

Menurut sumber, patung Buddha yang paling awal diukir memperlihatkan gaya Maharaja Wei Utara. Manakala pakaian patung Buddha pada Gua yang ke-5 disiapkan sudah mirip dengan baju etnik Han.

 

Ini disebabkan, setelah menyatukan bahagian utara China, maharaja pada masa itu memindahkan ibu kota dari Datong ke Luoyang dan mengubah nama keluarga puak Xianbei kepada nama keluarga etnik Han. Malah baginda melarang bercakap dalam bahasa asal mereka, sebaliknya perlu bertutur menggunakan bahasa Mandarin, selain mengamalkan ajaran Konfusius serta menggalakkan pertanian.

 

Malah, seni ukiran patung di Gua Yungang juga kelihatan semakin halus dan lebih berbentuk, seakan rupa bangsawan yang sudah “di-Han-kan”.

 

Manakala dalam gua yang tidak sempat disiapkan sehingga kini, memperlihatkan patung Buddha yang lebih lebar. Ia bersesuaian dengan kepopularan Dinasti Tang(tahun 618 hingga 907 Masihi) yang menyifatkan kegemukan sebagai kecantikan.


Meskipun keturunan puak Xianbei beransur-ansur menjadi sebahagian daripada etnik Han, Tibet, Xibo, Tu dan lain-lain di China pada masa kini, namun tinggalan sejarah Kerajaan Wei Utara menjadi khazanah penting dalam kebudayaan tradisional China sehingga menarik kunjungan ribuan pelancong setiap hari.

 

Maka dengan menghayati dan mempelajari ciri khas pelbagai budaya dari luar negara dan juga dari semua puak yang pernah muncul di negara tembok besar ini, kita dapat menyaksikan peradaban tamadun China yang bersejarah lebih 5000 tahun kekal relevan sehingga ke hari ini.