Datong : Pusat Arang Batu Berubah Wajah Kepada Destinasi Pelancongan Terkenal
Ketika melancong ke Datong baru-baru ini, Satria sempat berbual-bual dengan pemandu teksi, pemandu pelancong dan pengurus hotel di tempat penginapan Satria, kesemua mereka menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Bandar Datong iaitu Geng Yanbo.
Sebelum ke sini, sebenarnya Satria pernah mendengar nama Geng Yanbo iaitu individu yang pernah menjawat jawatan Datuk Bandar Datong dari tahun 2008 hingga 2013 dan berjaya membawa perubahan besar kepada bandar ini.
Ketika dalam perjalanan ke Gua Buddha Yungang, pemandu teksi bercerita kepada Satria bahawa sebelum ini kawasan sekitar Gua Yungang merupakan lombong arang batu. Malah jalan yang menuju ke gua tersebut juga, sebelum ini dipenuhi dengan lori yang membawa arang batu. Lebih menarik lagi, katanya dia juga dahulunya merupakan sorang pemandu lori.
Saya menikmati keindahan pemandangan alam sepanjang perjalanan, langit yang biru, jalan yang bersih dan pokok-pokok yang menghijau. Kini kawasan ini merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular, namun tidak terbayang jika ia dahulunya merupakan pusat arang batu China. Pengeluaran arang batu Datong mencatatkan 2.5 bilion tan sejak penubuhan Republik Rakyat China.
Hingga awal abad ini, sumber arang batu yang berkualiti dari Datong telah berkurang, namun keadaan arang batu merupakan sumber ekonomi bandar ini masih tidak berubah, sehingga ketibaan Datuk Bandar Geng.
Pemandu pelancong ada memaklumkan kepada saya bahawa Kuil Huayan sebagai kuil diraja Dinasti Liao (907-1125) yang dibina kira-kira 1,000 tahun yang lalu, dahulu hanya tinggal satu sahaja bangunan Dinasti Liao. Bagaimanapun selepas Geng Yanbo menjawat jawatan Datuk Bandar pada 2008, beliau telah mengarahkan untuk membaikpulih dan membina semula semua Kota Kuno Datong termasuk Kuil Huayan mengikut reka bentuk asalnya, bagi tujuan menarik pelancong dari dalam dan luar negeri selain melindungi tinggalan sejarah bandar itu.
Kini di seluruh China, hanya terdapat 8 buah bangunan tinggalan Dinasti Liao, dengan 2 daripadanya berada dalam Kota Kuno Datong.
Bagaimanapun pembinaan semula secara besar-besaran ini pernah mendapat kritikan dari pakar sejarah dan masyarakat setempat. Malah di dalam Kuil Huayan, ada satu monumen yang ditulis oleh Datuk Bandar Geng yang memaklumkan beliau akui ada tiga kesilapan dalam projek pembinaan semula Kuil Huayan, namun memutuskan untuk meneruskan projek tersebut sehingga siap kerana pelaburannya sangat besar. Kata beliau mendirikan monumen tersebut supaya generasi akan datang boleh menimba pengalaman dari kesilapannya.
Ketika melancong ke Datong, Satria menginap di satu hotel kecil dalam Kota Kuno Datong. Hotel tersebut hanya mempunyai 6 bilik sahaja, tapi terletak di seberang jalan sahaja Kuil Huayan. Ketika fajar, sambil berbaring, saya menikmati keindahan matahari yang menyinari bumbung Kuil Huayan. Pemandangannya sungguh indah dengan warna yang keemas-emasan.
Istimewanya hotel ini, pengurusnya merupakan seorang warga emas tempatan. Macik ini berkata bahawa Datuk Bandar Geng merupakan seorang yang berpandangan jauh. Ketika ramai yang mempertimbangkan bagaimana untuk menggunakan sumber arang batu semaksima mungkin, beliau telah menyedari bahawa bandar ini perlu “dievolusikan”. Langit yang biru dan kekayaan budaya yang bersejarah merupakan “gunung emas” di bandar ini yang tidak boleh disia-siakan.
Tidak dinafikan, mungkin ada satu atau dua kesilapan dalam pentadbiran Datuk Bandar Geng di Datong, namun segala persiapan, perancangan dan pembangunan yang dibuat sejak pentadbiran beliau, dapat menyebabkan Datong kini mampu memberikan pengalaman pelancongan yang cukup mengujakan kepada jutaan pelancong khususnya berikutan kepopularan permainan video “Black Myth : Wukong”.