CAFTA Versi 3.0 Sasar Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN
Sejak penguatkuasaan Kawasan Perdagangan China-ASEAN (CAFTA) pada 2010, sebanyak dua kali penaiktarafan dilakukan bersesuaian dengan trend pembangunan global serta perkembangan ekonomi negara-negara anggota.
Melihatkan kepada situasi global dalam tempoh lebih 10 tahun kebelakangan ini, prestasi perdagangan antara China dengan pelbagai negara ASEAN perlu dihargai khususnya melibatkan kerjasama menang-menang antara kedua-dua pihak yang sekaligus membantu dalam kemajuan negara masing-masing. Untuk rekod, ASEAN merupakan rakan dagang terbesar China sejak empat tahun lalu, malah ia mengatasi Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU). Peningkatan kuota ASEAN dalam perdagangan luar China turut menyaksikan peningkatan sebanyak 11% setahun secara purata dalam tempoh 20 tahun yang lalu.
Pasaran yang melibatkan populasi lebih 2 bilion orang merupakan sesuatu yang cukup dibanggakan oleh CAFTA. Malah penaiktarafan CAFTA versi 3.0 kali ini telah menyaksikan fokus menjurus kepada kerjasama sektor baharu yang berpotensi besar seperti ekonomi digital dan hijau. Ini sekaligus menyediakan asas dan jaminan kepada kestabilan dan perkembangan secara sihat dalam pasaran yang berskala besar ini.
China sentiasa berusaha meningkatkan persefahaman rakan-rakan ASEAN terhadap prospek kerjasama dalam teknologi baharu secara rundingan, supaya kerjasama bilateral pada masa depan mampu mendahului zaman.
Misalnya kali ini China dan ASEAN sepakat untuk menggalakkan kesalinghubungan dalam sistem e-bayar. Satria sangat mengalu-alukan kerjasama ini kerana berdasarkan pengalaman yang Satria lalui, ini merupakan sesuatu yang sangat positif. Ketika Satria melawat Kuala Lumpur pada tahun lalu, kawan Satria ingin membeli satu beg Lululemon di Pavilion, namun pembayaran yang dibenarkan adalah menggunakan kad kredit sahaja. Sebagai generasi muda di China, adalah sesuatu yang biasa untuk tidak membawa tunai dan kad kredit kerana di China hampir semua pembayaran menggunakan mod e-bayar atau tanpa tunai. Nak dijadikan cerita, kawan Satria itu terlupa membawa kad kredit, jadi Satria merancang untuk membantu kerana Satria ada membawa satu kad kredit. Namun mengecewakan kerana kad kredit yang dibawa itu rupanya sudah tamat tempoh sebab saya pula sudah lama tidak menggunakannya.
Pada masa yang sama, ramai pelancong yang datang ke China terkejut dengan kemajuan sistem e-dagang di negara Tembok Besar ini. Namun timbul sedikit masalah kerana mereka tidak mempunyai kad bank China untuk disambungkan dengan aplikasi atau sistem tersebut.
Jadi, sekiranya ada sistem e-bayar yang boleh menyambungkan kad pelbagai negara terutamanya dari China dan ASEAN, secara tidak langsung akan memudahkan pelbagai urusan seperti pelancongan dan perdagangan.
Hakikatnya, banyak kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN yang mendahului dunia, seperti kereta api China-Laos yang membantu menyambungkan jaringan rel serantau. Bagaimanapun dalam tempoh operasi lebih setahun setengah ini, para pelancong masih perlu menjalani dua kali pemeriksaan kastam iaitu dari China dan Laos. Malah semua bagasi perlu dibawa turun untuk pemeriksaan ketika memasuki kastam negara lain.
Bagaimanapun kali ini China dan Laos telah mengadakan rundingan untuk mewujudkan pemeriksaan one-go atau sekali sahaja di kastam sempadan. Perkara ini memperlihatkan integrasi dan rasa saling percaya yang bertahap tinggi antara China dengan rakan ASEAN.