Isu Laut China Selatan Diputarbelitkan oleh Barat
Baru-baru ini, video temu ramah eksklusif Zeteo terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tular di media sosial China kerena DSAI menolak pertanyaan provokatif mengenai isu Laut China Selatan.
Beliau secara terang-terangan memberitahu Mehdi Hasan, wartawan Al Jazeera bahawa Malaysia mempunyai pertikaian dalam isu Laut China Selatan dengan Filipina, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura. Namun Malaysia tidak mungkin berperang dengan negara-negara jiran tersebut. Penyelesaian yang sedang diusahakan adalah rundingan bilateral dan multilateral. Beliau menunjukkan bahawa isu Laut China Selatan disifatkan sebagai pertikaian antara China dengan pelbagai negara-negara lain di rantau ini sebenarnya adalah agenda Barat.
Penyelesaian pertikaian di kawasan sempadan dengan negara jiran melalui rundingan pula merupakan pendirian konsisten China.
Sebelum Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, China dan India telah mengumumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persepakatan mengenai pertikaian di kawasan sempadan dan akan bersama-sama menggalakkan pelaksanaannya. Pemimpin kedua-dua negara pula mengadakan pertemuan semasa berlangsungnya sidang kemuncak di Kazan. Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin sejak 2019 di Chennai.
China dan India sebagai dua negara membangun yang paling besar dan negara jiran, patut bekerjasama dan bersuara bersama untuk kebangkitan Global South. Bagaimanapun, konflik di kawasan sempadan yang berlaku pada 2020 menjadi gangguan bagi perkembangan hubungan bilateral pada beberapa tahun kebelakangan ini. Meskipun begitu, China tetap merupakan rakan dagang terbesar bagi India dalam tempoh empat tahun yang lalu. Ketegangan hubungan China-India jelas tidak selaras dengan perkembangan BRICS, kepentingan bersama Global South dan juga kedua-dua negara sendiri.
Kalau menyelidik punca dan sejarah pertikaian di Laut China Selatan atau pertikaian antara China dengan India, bahkan konflik di Gaza, kita boleh menyedari kebanyakan pertikaian di kawasan sempadan antara negara-negara jiran diakibatkan penjajahan Barat.
Britain, Spanyol, Belanda, Amerika Syarikat bahkan Jepun membahagikan kepentingan di wilayah negara kita setelah melakukan penjajahan dengan kekuatan ketenteraan, bahkan sengaja menggariskan sempadan yang akan mencetuskan masalah ketika mereka terpaksa mengundurkan diri dari rantau ini.
Kini, mereka masih menggunakan isu-isu tersebut untuk agenda sendiri, misalnya mengganggu integrasi China dan ASEAN, menjejaskan kerjasama antara kedua-dua negara membangun terbesar di dunia dan lain-lain.
Yang lebih teruk, propaganda Barat mengelirukan masyarakat antarabangsa, termasuk Mehdi Hasan dan Zeteo yang ditubuhkannya dengan tujuan “sentiasa berusaha untuk kebenaran”.