Cari:
Kerjasama China-ASEAN 2012
2012-11-23 10:33:50 CRI Cetak

1. Pertukaran Politik, Pertahanan dan Keselamatan

Pertukaran Politik

China dan negara-negara anggota ASEAN mengekalkan hubungan peringkat tinggi yang erat pada tahun 2012. Lebih 50 pertukaran lawatan peringkat timbalan perdana menteri dan lebih tinggi telah dijalankan pada tahun ini. Lawatan-lawatan tersebut telah mengukuhkan rasa saling mempercayai strategik, komunikasi dan penyelarasan antara kedua-dua pihak.

Menteri Luar China, Yang Jiechi menghadiri Sidang Menteri Luar Forum Serantau ASEAN di Phnom Penh pada Julai lalu, dan menegaskan lagi dasar China untuk mendorong semangat persahabatan dan kejiranan serta kerjasama yang saling menguntungkan antara China dengan ASEAN.

Demi membina mekanisme perhubungan dengan ASEAN, China telah menubuhkan misi tetap ke ASEAN di Jakarta, Indonesia. Puan Yang Xiuping dilantik sebagai Duta Besar China ke ASEAN. Upacara perasmian misi tetap China ke ASEAN diadakan pada 27 September.

Kedua-dua pihak telah mengekalkan komunikasi dan penyelarasan yang erat mengenai isu-isu antarabangsa dan serantau yang penting dalam pelbagai pertubuhan multilateral, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 20, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak Asia Timur, untuk bersama-sama berusaha mendorong penubuhan order politik dan ekonomi antarabangsa baharu yang adil dan teratur, dan telah memberikan sumbangan yang positif terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Kerjasama di Laut China Selatan

Tahun 2012 merupakan ulang tahun ke-10 pemeteraian Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkaitan di Laut China Selatan (DOC). Momentum pelaksanaan DOC tersebut secara umumnya adalah baik. China dan negara-negara anggota ASEAN telah mengadakan mesyuarat pegawai kanan ke-4 dan mesyuarat kumpulan kerja ke-7 mengenai pelaksanaan DOC tersebut di Beijing pada bulan Januari. Mesyuarat pegawai kanan ke-5 pula diadakan di Hanoi pada bulan Jun. Semua pihak yang terlibat rata-rata bersepakat melaksanakan DOC tersebut dan mendorong kerjasama yang pragmatik.

Sesuai dengan Rancangan Kerja 2012 yang diluluskan dalam mesyuarat pegawai kanan ke-4, pihak China telah menganjurkan seminar mengenai pencegahan dan pengurangan kemalangan laut di Laut China Selatan, dan juga seminar mengenai persekitaran dan teknologi pengawasan ekologi laut di Laut China Selatan.

China dan negara-negara anggota ASEAN mengekalkan komunikasi dalam membincangkan penetapan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC). Pegawai-pegawai kanan pelbagai negara yang berkenaan telah mengadakan rundingan tidak rasmi mengenai COC tersebut di Phnom Penh pada 8 Julai dan 13 September. Dengan membincangkan perkara yang berkaitan, mereka telah meningkatkan persefahaman dan melahirkan hasrat untuk bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan. China juga menghadiri Seminar Trek 1.5 mengenai COC yang dianjurkan oleh kumpulan pemikir negara-negara ASEAN di Malaysia, dan bertukar-tukar pendapat dengan pihak-pihak lain.

Pertahanan dan Keselamatan

Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Pertahanan China, General Liang Guanglie menghadiri Rundingan Menteri Pertahanan China-ASEAN yang pertama di Phnom Penh, Kemboja pada 29 Mei. Pelbagai pihak telah bertukar-tukar pendapat mengenai situasi keselamatan serantau serta membincangkan cara untuk memperdalam rasa saling mempercayai dan kerjasama antara satu sama lain.

Pada bulan Mei, pihak polis China dan tujuh negara ASEAN termasuk Thailand, Malaysia, Kemboja, Indonesia dan Filipina bersama-sama menumpaskan kumpulan penipuan telekom besar "29 November" dan menahan 482 suspek, sekali gus membendung jenayah seumpama itu dengan berkesan.

Jabatan polis kedua-dua pihak telah mengekalkan pertukaran dan komunikasi yang erat melalui pelbagai seminar dan bengkel. China menghantar delegasi untuk menghadiri Sidang Ketua-ketua Polis ASEAN ke-32 di Naypyidaw, Myanmar pada bulan Mei dan Bengkel Pegawai Kanan Polis China-ASEAN telah diadakan di Zhejiang, China pada bulan Jun, manakala Program Latihan Teknologi Penyiasatan China-ASEAN ke-9 diadakan di Beijing pada bulan Jun hingga Ogos. Selain itu, pihak China juga akan mengadakan bengkel pegawai penguat kuasa undang-undang peringkat kanan pada tahun ini dan mengundang pegawai-pegawai berkenaan dari negara-negara anggota ASEAN untuk menghadirinya.


1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China