Cari:
Kerjasama China-ASEAN 2012
2012-11-23 10:33:50 CRI Cetak

6. Kebudayaan, Pendidikan dan Pelancongan

Kebudayaan

Mesyuarat Menteri Kebudayaan China-ASEAN yang pertama telah diadakan di Singapura pada 25 Mei 2012. Para peserta bersetuju untuk menubuhkan mekanisme Mesyuarat Menteri Kebudayaan China-ASEAN dan mengadakan perbincangan mengenai cara operasi mekanisme itu, kerjasama dalam bidang kebudayaan serta "Pelan Tindakan Kerjasama Kebudayaan China-ASEAN".

Sejak tahun 2006, Forum Industri Kebudayaan China-ASEAN telah berjaya diadakan sebanyak enam kali. Forum ini telah memberi sumbangan besar kepada usaha mendorong perkongsian sumber dan kerjasama pragmatik dalam bidang pertukaran kebudayaan serantau, serta mempererat hubungan antara China dengan ASEAN. Pada 10 hingga 14 September 2012, forum ini yang dinamakan semula menjadi Forum Kebudayaan China-ASEAN telah diadakan di Nanning, Guangxi.

Pendidikan

--Minggu Pertukaran Pendidikan China-ASEAN

Minggu Pertukaran Pendidikan China-ASEAN ke-5 diadakan di Provinsi Guizhou pada 17 hingga 20 September lalu bertemakan "Inovasi, Keterbukaan dan Kerjasama Pragmatik". Pelbagai aktiviti termasuk "Forum Presiden Universiti China-ASEAN", "Pesta Makanan China-ASEAN", 'Seminar Pembangunan Industri Kebudayaan China-ASEAN" dan "Forum Pendidikan Ilmu Perubatan China-ASEAN" telah diadakan dengan serentak. Lebih 600 wakil dari jabatan pendidikan dan universiti China dan pelbagai negara ASEAN, Kedutaan Besar negara-negara ASEAN di China, Pusat China-ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Rangkaian Universiti ASEAN telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti tersebut.

--10 Buah Pusat Latihan Vokasional China-ASEAN

Dalam Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-14 yang diadakan pada tahun 2011, Perdana Menteri China, Wen Jiabao mencadangkan penubuhan 10 buah pusat latihan vokasional untuk membangunkan sumber manusia yang diperlukan dalam pembangunan sosioekonomi pelbagai negara ASEAN. Kini, 10 buah pusat latihan vokasional itu telah ditubuhkan di Guangxi, Sichuan, Yunnan, Guizhou, Fujian dan Heilongjiang China dan menyediakan kursus latihan dalam bidang pameran perdagangan, kebudayaan, kesenian, pengajaran bahasa Mandarin, kewangan, perubatan tradisional dan sumber tenaga baharu.

--Rancangan Pertukaran Pelajar Dua 100,000

Setakat penghujung tahun 2011, bilangan pelajar dari negara-negara ASEAN yang melanjutkan pelajaran di China mencatat 54,790 orang, termasuk 4118 pemegang biasiswa kerajaan China. Sementera itu, jumlah pelajar China yang melanjutkan pelajaran di negara ASEAN pula mencatat 101,039 orang. Pada tahun 2012, China terus menawarkan biasiswa kepada pelajar ASEAN dan melaksanakan "Pelan Melanjutkan Pelajaran ke China" untuk menarik kedatangan pelajar-pelajar dari ASEAN dan mendorong pertukaran pelajar antara China dengan ASEAN.

--Pengajaran Bahasa Mandarin dan Pengajian ASEAN

China amat mementingkan mutu pengajaran bahasa Mandarin di negara-negara ASEAN. Kini, China telah menubuhkan 26 buah Akademi Konfusius dan 14 buah Kelas Konfusius di Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Di samping itu, China juga meningkatkan pengajian terhadap rantau ASEAN dan pelbagai negara anggotanya. Pusat pengajian telah ditubuhkan di Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Beijing, Universiti Xiamen, Universiti Guizhou, Universiti Yunnan dan lain-lain. Selain itu, sebilangan besar universiti di China telah mula menawarkan jurusan bahasa negara-negara ASEAN. Pelajar-pelajar China yang mengikuti jurusan bahasa tersebut semakin ramai. Pertukaran ilmiah dengan pelbagai unversiti di ASEAN pula semakin kerap.

Pelancongan

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jabatan Pelancongan Negara China turut memberi keutamaan kepada negara-negara ASEAN dan Sekretariat ASEAN yang menyertai Ekspo Pelancongan Antarabangsa China. Pada tahun 2012, pihaknya terus menyediakan dua gerai pameran standard secara percuma untuk setiap negara ASEAN dan Sekretariat ASEAN. Semua gerai negara ASEAN dikumpulkan bersama. Pihaknya juga menyediakan sokongan dan bantuan kepada aktiviti promosi yang diadakan oleh negara-negara ASEAN.

Pada bulan Februari 2012, Forum Pelancongan Hijau China-ASEAN yang pertama dianjurkan di Beijing oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China bersama Pusat China-ASEAN dan Jabatan Pelancongan Negara. Pada bulan April, dengan bantuan Jabatan Pelancongan Negara, Pusat China-ASEAN telah membawa pasukan penggambaran CCTV ke Kemboja untuk membuat filem tentang sumber pelancongan tempatan untuk ditayangkan di stesen televisyen tersebut.


1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China