4. Sains dan Teknologi, Perlindungan Alam Sekitar & Hak Harta Intelek
Sains dan Teknologi
Tahun 2012 merupakan tahun kerjasama sains dan teknologi China-ASEAN. Kedua-dua pihak telah mengadakan pelbagai aktiviti dengan tema ini.
Pada 18 Mei, mesyuarat Jawatankuasa Bersama Sains dan Teknologi China-ASEAN ke-7 diadakan di Naypyidaw, Myanmar. Pada 22 September pula, mesyuarat menteri sains dan teknologi China-ASEAN yang pertama diadakan di Nanning, provinsi Guangxi China. Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Sains dan Teknologi China, Wan Gang, Menteri Sains dan Teknologi dari sepuluh negara anggota ASEAN serta pegawai kanan Sekretariat ASEAN. Pada hari yang sama, Program Perkongsian Sains dan Teknologi China-ASEAN turut dilancarkan di Nanning. Acara pertama dalam program tersebut, iaitu pembinaan wadah perkongsian sumber data satelit turut dirasmikan. Bengkel mengenai dasar sains dan teknologi dan pengurusannya bagi negara-negara ASEAN dan Forum China-ASEAN telah diadakan di China pada bulan Oktober dan November masing-masing.
Perlindungan Alam Sekitar
Pada tahun 2012, China dan ASEAN giat melaksanakan Strategi Kerjasama Perlindungan Alam Sekitar China-ASEAN, menyusun Pelan Tindakan Kerjasama Perlindungan Alam Sekitar China-ASEAN, dan menjalankan pelbagai aktiviti seperti dialog dasar, pembangunan kemampuan dan perbincangan mengenai kerjasama alam sekitar serantau.
--Melaksanakan Pelan Utusan Hijau China-ASEAN
Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan kemampuan menguruskan alam sekitar bagi pegawai kerajaan, meningkatkan kesedaran alam sekitar orang awam, menggalakkan pertukaran lawatan antara kalangan belia dalam bidang perlindungan alam sekitar, dan memperhebat inovasi teknologi yang mesra alam.
Pada 22 hingga 24 Mei 2012, Seminar Pembangunan Hijau Belia China-ASEAN diadakan di Beijing, dan pada 15 hingga 21 Julai 2012, bengkel pengurusan ekonomi hijau dan alam sekitar China-ASEAN diadakan di Beijing.
--Melaksanakan Pelan Kerjasama Kepelbagaian Biologi dan Perlindungan Ekologi China-ASEAN
Pada 18 September 2012, Seminar Pelaksanaan Perlindungan Kepelbagaian Biologi China-ASEAN diadakan di Beijing. Para peserta telah bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam usaha melindungi kepelbagaian biologi.
Hak Harta Intelek
China dan ASEAN telah menjalankan pertukaran dan kerjasama yang meluas dan mendalam dalam bidang harta intelek pada tahun 2012.
Untuk menggalakkan dialog China-ASEAN dalam pembangunan hak harta intelek pada peringkat global, serantau dan negara, dan melaksanakan Memorandum Persefahaman China-ASEAN dalam Kerjasama Harta Intelek, pihak China telah mengadakan Seminar Perlindungan Harta Intelek, Pengetahuan Tradisional dan Sumber Genetik China-ASEAN di Beijing pada 10 hingga 12 September 2012. Pegawai kerajaan, pakar dan sarjana dari China dan negara-negara ASEAN telah mengadakan perbincangan demi mempererat kerjasama dalam bidang berkenaan.