7. Kesihatan, Kastam, Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin
Kesihatan
Mesyuarat Pegawai Kanan Pembangunan Kesihatan China-ASEAN ke-2 telah diadakan di Cebu, Filipina pada 29 Mac 2012. Sidang Menteri Kesihatan China-ASEAN ke-4 pula diadakan di Phuket, Thailand pada 6 Julai. Para peserta persidangan tersebut telah menetapkan bidang keutamaan dalam kerjasama kesihatan dua hala, berkongsi pengalaman dalam usaha kawalan tembakau, dan menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Kesihatan China-ASEAN.
Pada bulan April, Seminar Perubatan Tradisional China-ASEAN yang bertema "menerapkan perubatan tradisional ke dalam sistem penjagaan kesihatan dan perubatan kebangsaan" diadakan di Beijing.
Pada bulan Ogos, China mengundang negara-negara ASEAN menyertai Forum Kesihatan China yang diadakan di Beijing. Para peserta telah bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman berhubung pembaharuan penjagaan kesihatan dan perubatan.
Pada tahun 2012, China dan ASEAN berjaya melaksanakan projek pencegahan penyakit AIDS di kawasan sempadan China-Myanmar, China-Vietnam dan China-Laos, program perintis usaha bersama pencegahan malaria dan denggi di subkawasan Sungai Mekong yang bersempadan dengan provinsi Yunnan China, dan projek perintis pencegahan penyakit denggi di kawasan sempadan subkawasan Sungai Mekong.
Kastam
Mesyuarat Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Kastam China-ASEAN ke-10 diadakan di Manila, Filipina pada 5 hingga 9 Jun 2012. Para peserta berbincang mengenai langkah meningkatkan kemampuan, menggalakkan keselamatan dan kemudahan sistem bekalan antarabangsa, serta pelbagai isu yang melibatkan Pertubuhan Kastam Sedunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Pada bulan Jun, Seminar Pengendali Ekonomi Berdaftar (AEO) China-ASEAN diadakan di bandar Guilin, Guangxi.
Pada September pula, kursus latihan pemeriksaan lanjutan kastam diadakan di Shanghai, disertai oleh 20 orang pegawai peringkat kanan dari empat buah negara.
Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin
Mesyuarat Menteri China-ASEAN mengenai Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (Kerjasama SPS) ke-3 berlangsung di bandar Nanning, Guangxi, China pada 19 hingga 21 September 2012 dengan tema "Mempergiat Kerjasama Demi Pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN". Sidang tersebut telah meluluskan Pelan Pelaksanaan Memorandum Persefahaman Kerjasama SPS China-ASEAN 2013-2014, mengenalpasti projek kerjasama yang penting antara China dengan ASEAN dalam bidang SPS untuk dua tahun yang akan datang, dan mengemukakan Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri SPS China-ASEAN ke-3.
Laman sesawang bersama SPS China-ASEAN yang dirasmikan pada 20 September lalu menyediakan perkhidmatan pusat berita dan maklumat mengenai mesyuarat peringkat menteri, kumpulan kerja teknikal, peraturan dan piawaian SPS, organisma berisiko, serta aktiviti semasa dan perjanjian SPS yang berkenaan.