Para perwakilan yang dihormati,
Dalam tempoh lima tahun yang lalu, kami melaksanakan sepenuhnya undang-undang autonomi di kawasan etnik minority, dasar kebebasan beragama, dan dasar yang berkaitan dengan urusan perantau. Pembangunan pertahanan dan pasukan tentera mencapai kejayaan yang baharu. Kerja-kerja yang berkaitan dengan Hong Kong, Macau dan Taiwan turut dipertingkatkan.
Selain itu, diplomasi dari segenap aspek mencapai kemajuan yang menggalakkan. Negara kita giat mempererat hubungan dengan pelbagai negara besar, memperkasakan hubungan kerjasama yang saling menguntungkan dengan negara jiran, berjaya membina Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (ASEAN), menggalakkan perkembangan mekanisme kerjasama serantau seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), memperdalam persahabatan tradisional dan kerjasama dengan negara-negara membangun. Di samping itu, negara kita juga giat terlibat dalam kerjasama antarabangsa dalam isu-isu global, seperti usaha menangani krisis kewangan global dan perubahan iklim sejagat, menggalakkan penyelesaian isu-isu penting serantau dan antarabangsa. Hal ini membantu menyediakan suasana antarabangsa yang bermanfaat bagi pembaharuan, pembangunan dan kestabilan negara kita, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran dunia.
Para perwakilan,
Pencapaian negara kita dalam tempoh lima tahun yang lalu hasil pimpinan bijak kerajaan pusat, juga usaha bersama seluruh parti dan dan rakyat. Saya mewakili Dewan Negara mengucapkan terima kasih kepada rakyat pelbagai etnik, pelbagai parti demokratik, pertubuhan rakyat dan tokoh-tokoh dalam pelbagai lapisan masyarakat serta kerajaan pelbagai negara, pertubuhan antarabangsa dan rakan-rakan dari pelbagai negara atas sokongan mereka terhadap pembangunan modenisasi China.
Kita sudah menyedari bahawa masih terdapat banyak percanggahan dan masalah dalam proses pembangunan sosioekonomi negara, seperti masalah ketidakseimbangan dan ketidaklestarian dalam pembangunan tetap menonjol; percanggahan antara tekanan kemerosotan ekonomi dan keupayaan pengeluaran yang berlebihan semakin bertambah; kos pengeluaran dan operasi perusahaan meningkat namun kekurangan daya inovasi; percanggahan antara peningkatan pendapatan fiskal awam yang menjadi perlahan dengan peningkatan perbelanjaan kerajaan yang wajib semakin ketara; wujudnya risiko tersembunyi dalam sektor kewangan; struktur perindustrian tidak rasional, asas industri pertanian masih lemah; percanggahan antara pembangunan ekonomi dengan persekitaran sumber tenaga semakin tajam; jurang perbezaan pembangunan dan agihan pendapatan penduduk antara bandar dan luar bandar serta antara kawasan yang tertentu masih agak besar; masalah-masalah yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat seperti pendidikan, pekerjaan, insurans sosial, perubatan, perumahan, persekitaran ekologi, keselamatan bahan makanan dan ubat-ubatan serta keselamatan pengeluaran, masih banyak, dan sebahagian rakyat masih hidup miskin; pembangunan secara saintifik masih menghadapi banyak halangan; pengubahsuaian fungsi kerajaan tidak berkesan, gejala rasuah dalam beberapa bidang kerap berlaku. Kesemua masalah ini, ada yang muncul dalam proses pembangunan sosioekonomi, ada yang disebabkan oleh ketidakcekapan kerja kerajaan. Kami akan berusaha lebih gigih untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan sikap bertanggungjawab, agar tidak mensia-siakan harapan rakyat.