China ABC

Taktik Ke-2: Selamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei

Taktik "Menyelamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei" terhasil daripada pertempuran "Guiling" yang berlaku pada abad ke-4 Sebelum Masihi. Pada zaman itu, China sedang berada dalam keadaan terpisah-pisah dan diduduki oleh pelbagai negeri kecil yang sering berperang antara satu sama lain untuk merebut seberapa besar wilayah. Wei dan Zhao merupakan dua negeri berjiran pada masa itu.

 

Antara pelbagai negeri pada zaman itu, negeri Wei merupakan negeri yang lebih awal menjalankan pembaharuan politik dan ekonomi. Dengan pelaksanaan pembaharuan, negeri Wei menjadi semakin kuat dan telah menakluki beberapa negeri kecil yang lemah. Manakala, pertahanan negeri Zhao agak lemah berbanding dengan negeri Wei.

 

Tatkala, tentera negeri Zhao menakluki sebuah negeri kecil yang menjadi wilayah jajahan negeri Wei. Raja negeri Wei telah melantik Pang Juan sebagai panglima tenteranya dan mengerahkan sebilangan besar tentera untuk merebut kembali wilayahnya. Panglima Pang Juan bercadang untuk melancarkan serangan langsung terhadap ibu kota negeri Zhao. Dengan yang sedemikian, jika mereka berjaya mengalahkan negeri Zhao, negeri Wei bukan sahaja boleh merebut kembali wilayah jajahannya, tetapi juga boleh menghapuskan negeri Zhao dengan sekali gus. Raja negeri Wei telah menerima cadangan panglima Pang Juan dan telah menggerakkan tenteranya menuju ke Handan, ibu kota negeri Zhao yang ditempatkan di luar kota itu. Dalam masa selama lebih setahun selepas itu, kota Handan sentiasa dalam keadaan terkepung.

 

Dalam keadaan itu, raja negeri Zhao telah meminta bantuan daripada negeri Qi. Ini kerana negeri Qi ialah rakan sekutu negeri Zhao. Qi dan Zhao telah mencapai persetujuan bahawa jika sesiapa daripada kedua-dua pihak diancam oleh negeri yang lain, pihak yang lagi satu mesti mengerahkan tentera masing-masing untuk memberi bantuan sebagai rakan sekutu.

 

Raja negeri Qi berpendapat bahawa mereka perlu memberi bantuan kepada negeri Zhao kerana persetujuan telah dicapai. Akan tetapi, jika berperang dengan tentera Wei yang kuat dan berkeupayaan, kekuatan negeri Qi pasti akan terjejas. Meneliti situasi tersebut, ahli strategi perang negeri Qi, Sun Bin berpendapat bahawa untuk membantu negeri Zhao, negeri Qi perlu mengelakkan daripada bertempur dengan tentera Wei secara langsung. Sebaliknya, mereka perlu mencari kelemahan tentera Wei untuk menewaskannya.

 

Sun Bin telah mengemukakan satu muslihat iaitu memandangkan hampir kesemua tentera negeri Wei berada di luar negeri, negeri Qi akan melancarkan serangan terhadap ibu kota negeri Wei, maka panglima Pang Juan tentulah akan membawa balik tenteranya untuk mempertahankan ibu kota mereka sendiri. Dengan itu, kepungan tentera Wei terhadap ibu kota negeri Zhao akan ditamatkan, di samping itu, tentera Wei sudah tentu akan terkena serangan hendap sewaktu dalam perjalanan pulang. Jadi, tidak dapat tidak tentera Wei pasti akan kalah dalam apa-apa jua keadaan sekalipun. Raja Qi telah menerima pakai muslihat tersebut.

 

Seperti jangkaan awal, tentera Wei telah berundur dari ibu kota negeri Zhao setelah memaklumi ibu kota mereka diancam dan mengalami serangan hendap oleh tentera Qi yang telah lama bersiap bersedia sewaktu dalam perjalanan pulang. Tentera Wei yang sejak sekian lama menjalankan operasi di luar akhirnya dikalahkan dengan teruknya kerana kepenatan dan hilangnya semangat perjuangan. Tempat berlakunya serangan itu adalah di Guiling, seperti yang saya sebutkan pada permulaan rancangan tadi.

 

Itulah cerita sepenuhnya tentang asal usul taktik "Menyelamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei" iaitu taktik kedua dalam "36 Taktik Peperangan" China.

 

Teras utama taktik tersebut, iaitu mengelakkan kekuatan utama musuh dan mencari bahagian-bahagian musuh yang lemah agar dapat menewaskan menysatkan dan mengalahkan musuh.

 

Kini, dalam aktiviti perniagaan juga terdapat banyak kes yang berjaya setelah menggunakan taktik "Menyelamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei". Seperti dalam perniagaan mainan kanak-kanak sekarang, pelbagai syarikat menghadapi persaingan yang sengit antara satu sama lain. Biasanya, syarikat kecil sangat sukar untuk mencapai kejayaan dalam saingan dengan syarikat besar yang lebih maju. Sebagai contohnya, terdapat sebuah syarikat mainan kecil dengan semangat berani mencuba telah mereka bentuk satu siri anak patung hodoh yang tidak terdapat dalam pasaran sebelum ini, di luar jangkaan pula produk itu mendapat sambutan hangat daripada kanak-kanak dan sangat laris dijual di pasaran.

 

Daripada kes tersebut, kita mengetahui bahawa dalam aktiviti perniagaan, syarikat kecil yang tidak berdaya perlu meneroka peluang dalam bidang yang tidak diberi perhatian dan mengelakkan daripada bersaing dengan syarikat besar yang lebih maju. Dengan yang demikian, syarikat kecil juga boleh mendapat manfaat daripada taktik "Menyelamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei".