China ABC

Biji-bijian Berisi

 

Kalendar 24 Musim merupakan satu sistem yang membahagikan masa setahun kepada 24 penggal yang panjangnya hampir sama dan perubahan iklimnya tidak besar.

 

Biji-bijian berisi merupakan penggal ke-8 dalam Kalendar 24 Musim selepas Permulaan Musim Panas. Penggal ini biasanya jatuh pada 21 atau 22 haribulan Mei setiap tahun. Menurut nota dalam Kalendar 24 Musim, definisi bagi penggal Biji-bijian Berisi ialah biji-bijian tanaman yang masak pada musim panas mula berisi, namun masih belum bernas. Semasa penggal ini, petani perlu mengambil tindakan bagi mencegah serangga perosak dan bencana alam seperti angin panas yang kering dan hujan lebat.

 

Biji-bijian Berisi juga merupakan musim yang sesuai bagi bersawah padi. Di kawasan selatan China, sama ada bencana kemarau serius berlaku atau tidak berkait rapat dengan keluasan penanaman padi, manakala waktu bersawah padi pula menetapkan jumlah pengeluaran pertanian.

 

Kemarau sering berlaku di bahagian tengah dan barat di kawasan selatan China pada musim sejuk dan musim bunga, manakala musim hujan akan tiba pada bulan Jun hingga Julai. Oleh itu, biasanya pada penggal Biji-bijian Berisi, jumlah hujan yang lebih kurang 40 milimeter tidak dapat memenuhi keperluan bersawah padi. Maka, di China terdapat satu pepatah yang berbunyi bahawa “menyimpan air sama seperti menyimpan bahan makanan, dan menjaga air sama seperti menjaga bahan makanan”. Selain meningkatkan teknik pertanian dan banyak menanam pokok, kaum petani perlu berusaha bagi menyimpan air pada tahun yang banyak turun hujan.

 

 

 

Semasa penggal Biji-bijian Berisi, ada sejenis tumbuhan liar yang boleh dimakan, dipanggil “sayur pahit” tumbuh subur di China. “Sayur pahit” ini rasanya memang pahit tetapi amat bergizi dan berfungsi menghilangkan demam selesema dan panas badan manusia. Warga China suka menumis “sayur pahit” atau memasukkannya dalam sup dan mi.