China ABC

Taktik ke-36: Melarikan Diri

 

Taktik "Melarikan Diri" bermaksud mengundurkan diri jika mengalami keadaan yang tidak menguntungkan. Taktik ini digunakan ketika seseorang itu menghadapi situasi yang membahayakan diri.

 

Pada zaman Chunqiu (tahun 770 SM - 476 SM), negeri Chu amat berkuasa. Jeneral Zi Yu yang mengetuai tentera negeri itu menyerang negeri Jin. Di samping itu, negeri Chu juga memaksa negeri-negeri kecil iaitu Chen, Cai, Zheng dan Xu supaya mengerahkan tentera masing-masing untuk menyokong serangan ke atas Jin itu.

 

Raja Jin mendengar khabar itu dan menganalisis keupayaan kedua-dua pihak. Beliau yakin negerinya tidak mampu menentang negeri Chu yang kuat berbanding negeri Jin. Beliau memutuskan untuk mengundurkan tenteranya.

 

Raja Jin berpura-pura mengumumkan bahawa bekas raja Chu memperlakukan raja Jin dengan baik, maka jika tentera kedua-dua pihak terpaksa menjadi musuh, negara Jin harus mengundurkan tentera sejauh 45 kilometer sebagai tanda menghormati. Sebenarnya, tindakan beliau mengundurkan tenteranya sejauh 45 kilometer, membolehkan tenteranya berada di kawasan gunung Tai Hang, berhadapan Sungai Kuning. Kawasan itu amat penting dari segi ketenteraan. Di samping itu, Raja Jin menghantar utusannya ke dua buah negeri besar, iaitu Qin dan Qi untuk meminta pertolongan.

 

Raja Jin telah mengetahui tentera Chu terdiri daripada tiga bahagian, iaitu kiri, tengah dan kanan. Tentera bahagian kanan paling lemah kerana tentera itu adalah dari negeri Chen dan Cai. Mereka terpaksa melibatkan diri dalam perang itu.

 

Selepas tentera kanan Chu menyerang tentera Jin, tentera Jin berpura-pura tidak dapat bertahan dan mengundurkan diri. Tentera kanan Chu mengejar tentera Jin tetapi diserang hendap oleh tentera Jin. Tentera Kanan Chu gagal.

 

Di samping itu, Raja Jin menyuruh tenteranya mempermainkan tentera Chen dan Cai, dan memberitahu Jeneral Zi Yu bahawa bahagian kanan negeri Chu telah mendapat kejayaan. Tentera Jin juga mengikat cabang pokok kepada kuda dan berlari-lari, mengakibatkan jalan-jalan nampak berdebu. Jeneral Zi Yu menganggap tentera Jin sedang mengundurkan tentera maka mengerahkan tentera kiri Chu untuk mengejar mereka. Namun, tentera kiri Chu diserang hendap sekali lagi. Tentera Chu yang kehilangan tentera kanan dan kirinya telah dikalahkan oleh tentera Jin.

 

Dalam cerita ini, tindakan negeri Jin mengundurkan tenteranya sebanyak dua kali bukanlah benar-benar untuk melarikan diri. Matlamat sebenar adalah mencari peluang untuk menyerang musuh, iaitu matlamat strategi “melarikan diri” yang sebenar.