China ABC

Dinasti Yuan (1279 - 1368)

 

Raja Tiemuzhen (Genghis Khan) dari Mongolia menubuhkan negaranya pada tahun 1206, manakala cucunya Hubilie (Kublai Khan) pula menamai negaranya itu sebagai Yuan pada tahun 1271. Lapan tahun kemudian iaitu tahun 1297, Hubilie telah menggulingkan pemerintahan Dinasti Song dan menetapkan ibu kota Dinasti Yuan di Dadu (Beijing pada zaman sekarang ini).

 

Raja Tiemuzhen memakai gelaran Genghis Khan setelah mengalahkan pelbagai suku dan menubuhkan negara Mongolia. Kawasan utara China pada waktu itu mengalami kemusnahan yang teruk akibat peperangan yang berlarutan sekian lama. Pada awal zaman Dinasti Yuan, Maharaja Hubilie menggalakkan usaha pertanian dan membaikpulih kawasan aliran Sungai Kuning

 

China pada zaman Dinasti Tang, Song dan Yuan merupakan negara yang paling maju di dunia. Ekonomi dan tamadun China pada masa itu amat berdaya tarik sehingga ramai utusan, saudagar dan sarjana dari pelbagai negara datang mengunjungi China. China juga sering melakukan pertukaran dan interaksi dengan dunia luar. Kerajaan Dinasti Yuan mengekalkan hubungan rapat dengan Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara. Tiga ciptaan China iaitu teknik cetakan, serbuk letupan dan kompas telah dibawa masuk ke Eropah oleh pedagang Arab. Pada masa yang sama, ilmu astronomi, perubatan dan aritmetik yang berasal dari negara-negara Arab pula telah disebarkan ke China. Pada zaman Dinasti Yuan juga, agama Islam turut dibawa masuk ke China dan disebar luas di negara ini.

 

Marco Polo, anak seorang peniaga Venice datang ke China dengan mengiringi ayahnya pada tahun 1275. Beliau tinggal di China selama 17 tahun dan menulis karya “The Travels of Marco Polo”. Buku tersebut menjadi salah satu catatan sejarah yang penting bagi dunia Barat mengetahui tentang China dan Asia.

 

Dalam konteks kesusasteraan, “Yuan Qu”, sejenis opera istimewa pada zaman Dinasti Yuan telah mencapai puncak kegemilangannya. Penulis Yuan Qu yang termasyhur pada zaman itu termasuk Guan Hanqing, Wang Shifu, Bai Pu dan Ma Zhiyuan. Karya klasik yang melambangkan Yuan Qu termasuk “Dou E Yuan” (Cerita Tragedi Dou E) dan “Xi Xiang Ji” (Kisah Cinta Bilik Barat).

 

Penindasan dan eksploitasi yang teruk terhadap rakyat bangsa Han semasa pemerintahan Dinasti Yuan telah mencetuskan pemberontakan. Kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Zhu Yuanzhang akhirnya berjaya menggulingkan kerajaan Mongol dan memulakan zaman Dinasti Ming pada tahun 1341. Zhu Yuanzhang menjadi Maharaja pertama Dinasti Ming.