China ABC

Taktik Ke-11: Mengorbankan Perak untuk Mempertahankan Emas

Taktik "Mengorbankan Perak untuk Mempertahankan Emas" yang juga dikenali sebagai "Mengorbankan Pokok Plum untuk Mempertahankan Pokok Pic" berasal daripada sebuah buku puisi bahasa China kuno. Dalam buku itu, terdapat satu puisi yang menceritakan tentang sebatang pokok plum yang telah mengorbankan diri untuk menyelamatkan sebatang pokok pic yang tumbuh dekat dengannya. Menurut cerita itu, di tepi sebuah perigi, terdapat sebatang pokok plum tumbuh berjiran dengan sebatang pokok pic. Akar pokok pic itu telah diserang oleh serangga perosak. Akhirnya, pokok plum itu telah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan pokok pic, lalu mati kerana akarnya dihabis makan oleh serangga perosak.

 

Tatkala, salah seorang daripada lima orang adik-beradik mengalami kemalangan, tiada seorang pun daripada adik-beradiknya sedia tampil untuk membantunya. Pemuisi itu telah meluahkan perasaan bahawa hubungan saudara lima adik-beradik itu tidak setanding dengan hubungan persahabatan dua batang pokok itu.

 

Dalam bidang ketenteraan, taktik "Mengorbankan Perak untuk Mempertahankan Emas" boleh digunakan jika kekuatan kedua-dua pihak yang bermusuh berada dalam keadaan seimbang atau berbeza, pihak yang lebih lemah itu terpaksa mengorbankan sesuatu sebagai kos yang tidak boleh dielakkan dan sedaya upaya meminimumkan kos yang harus dibayar itu demi mencapai kemenangan muktamad atau untuk mengelakkan kekalahan yang lebih teruk.

 

Saya bagi satu contoh dalam sejarah China. Pada abad ke-3 Sebelum Masihi, Negeri Zhao yang bersempadan dengan wilayah kuasa orang Hun selalu diserang oleh pasukan askar berkuda orang Hun. Untuk memperkukuh pertahanan, Raja Negeri Zhao telah melantik Panglima Li Mu sebagai komander tentera Negeri Zhao di Yan Men, tempat strategik bagi kedua-dua pihak. Pada mulanya, Li Mu yang baru menyandang jawatan itu telah mengarahkan tenteranya menjalankan tugas-tugas pertahanan di dalam kota Yan Men sahaja dan tidak membenarkan tenteranya keluar bertempur dengan pasukan musuh. Dengan itu, orang Hun pun tidak berani melancarkan serangan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengetahui rancangan Li Mu. Keadaan itu telah berlarutan selama beberapa tahun dan tentera Negeri Zhao yang dipimpin oleh Li Mu juga semakin hari semakin kuat dan penuh dengan semangat.

 

Sebelum melancarkan serangan besar-besaran terhadap orang Hun, Panglima Li Mu telah mengerahkan sejumlah kecil askar dan penduduknya keluar untuk menternakkan haiwan. Selepas mengetahui khabar itu, orang Hun telah menghantar pasukan askar berkudanya untuk merampas haiwan yang diternakkan itu.

 

Askar Li Mu telah bertempur dengan orang Hun dan dengan sengaja melarikan diri dengan meninggalkan haiwan ternakan mereka. Dengan kemenangan tersebut, orang Huni telah menganggap bahawa Li Mu ialah seorang penakut yang mudah dikalahkan. Jadi mereka telah melancarkan serangan yang besar-besaran terhadap tentera Negeri Zhao.

 

Dengan melihat tipu helahnya telah berkesan, tentera Li Mu pula telah memasang jerat sewaktu pasukan orang Hun sedang dalam perjalanan untuk melakukan serangan. Kemudian mereka telah melancarkan serangan hendap terhadap pasukan orang Hun dan dengan sekali gus berjaya menghapuskan pasukan orang Hun.

 

Walau bagaimanapun, dalam penggunaan praktikal taktik tersebut, besar atau kecilnya kos yang harus dibayar untuk mencapai kemenangan muktamad merupakan keputusan yang paling susah untuk dibuat. Ini kerana jika kos yang dibayar itu sudah sampai ke tahap yang tidak mampu ditanggung, maka kekalahan yang lebih teruk kemungkinan akan berlaku.

 

Dalam pada itu, mereka yang membuat keputusan harus mengetahui situasi sepenuhnya dan membuat penilaian secara saintifik supaya keputusan yang bijaksana dapat dibuat.