China ABC

Taktik ke-27: Berpura-pura Bodoh

Dalam 36 Taktik Peperangan, "Berpura-pura Bodoh" bermaksud walaupaun mempunyai kekuatan yang besar, namun, menyembunyikannya dengan berpura-pura mabuk, gila atau bodoh, supaya musuh menjadi sombong dan meremehkannya. Ini memberikan peluang untuk menghapuskan musuh itu.

 

Taktik ini sering digunakan oleh ahli politik. Ketika situasi tidak memberikan manfaat kepada mereka, mereka akan berpura-pura tidak mempunyai apa-apa kepakaran atau cita-cita politik yang besar, supaya musuh memperlekehkan mereka. Ketika itu, mereka akan mencari peluang untuk menghapuskan musuh dan mewujudkan cita-cita sendiri.

 

Misalnya, Cao Cao dan Liu Bei ialah dua orang ahli politik yang mempunyai cita-cita untuk menyatukan China pada abad ke-3. Tetapi, kekuatan Liu Bei agak kurang berbanding dengan Cao Cao. Oleh sebab itu, beliau sentiasa berpura-pura sangat patuh kepada Cao Cao. Pada satu hari, Cao Cao mengajak Liu Bei untuk makan bersama-sama. Ketika itu, Cao Cao bertanya kepada Liu Bei siapakah pahlawan pada masa itu menurut pandangannya. Liu Bei menyatakan beberapa tokoh yang terkenal pada masa itu sebagai pahlawan. Tetapi, Cao Cao berkata: "Hanya anda dan saylah pahlawan sebenar di seluruh negara." Liu Bei sangat terkejut mendengar perkataan tersebut, dan sepit pun terjatuh dari tangannya. Dia takut Cao Cao telah memahami cita-cita politiknya. Ketika itu, guruh berbunyi berdentum-dentum di langit. Liu Bei segera menjelaskan bahawa bunyi guruh telah mengejutkannya sehingga sepit di tangannya terjatuh. Cao Cao berpendapat orang yang terkejut oleh bunyi guruh tidak mungkin menjadi pahlawan yang handal dan mulai memperlekehkan Liu Bei. Peluang ini digunakan oleh Liu Bei untuk menubuhkan negeri sendiri dan kemudian berjuang dengan Cao Cao beberapa lama untuk menyatukan negara.

 

Kini, taktik tersebut juga sering digunakan dalam perdagangan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih banyak. Pihak lawan atau persaing sepatutnya menganalisis situasi secara menyeluruh dan jangan mengambil keputusan dengan tergesa-gesa berdasarkan tingkah laku atau perkataan pihak lain sahaja.