China ABC

Taktik ke-15: Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya

Taktik "Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya" ini bermaksud, melakukan sesuatu dengan tujuan untuk menarik harimau meninggalkan sarangnya. Di China, harimau dipanggil sebagai "raja di dalam gunung". Pada masa dahulu, peristiwa harimau menyerang manusia sering berlaku. Dalam operasi untuk menghapuskan harimau, orang ramai perlu menarik harimau keluar daripada sarangnya supaya ia meninggalkan kawasan pergunungan yang menjadi tempat sembunyi. Maka, taktik "Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya" juga mempunyai maksud lanjut iaitu: melakukan sesuatu supaya pihak musuh meninggalkan tempat asal atau kehilangan kelebihannya.

 

Dalam buku "Seni Perang" hasil karya Sun Zi, ahli strategi terkenal China ditunjukkan bahawa menyerang musuh dengan hebat tanpa mengira kekuatan pihak musuh pasti akan gagal. Jika pihak musuh telah berada dalam kedudukan strategik dan bersiap sedia untuk menangkis serangan yang dihadapi, maka kita tidak digalakkan berdepan langsung dengan pihak musuh kerana tidak mempunyai kelebihan.

 

Dalam keadaan ini, kita boleh mencuba taktik untuk mengumpan musuh meninggalkan kubu pertahanan yang kukuh dengan kos yang rendah. Dengan menggunakan tipu muslihat tersebut, kita boleh menjadikan situasi berubah sehingga kita mendapat kelebihan.

 

Dalam bidang ketenteraan, kunci kepada kejayaan penggunaan taktik "Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya" ialah "menarik". Seterusnya, saya akan bagi satu contoh untuk memberikan penjelasan lebih lanjut.

 

Pada awal abad kedua Masihi, wilayah China berada dalam keadaan terpisah-pisah dan diduduki oleh beberapa kuasa tempatan. Antaranya tiga kuasa yang terbesar ialah Negeri Wei, Negeri Shu dan Negeri Wu.

 

Pada masa itu, pemimpin Negeri Wu, Sun Ce bercita-cita untuk meluaskan wilayahnya dan merancang untuk merebut kota Lu Jiang yang berkedudukan strategik daripada tangan hulubalang Liu Xun.

 

Sun Ce menyedari bahawa pasukan Liu Xun sangat kuat, jika berhadapan langsung dengan tenteranya, maka kemungkinan untuk mencapai kemenangan adalah sangat kecil. Jadi, setelah berunding dengan pengikutnya, Sun Ce telah membuat keputusan untuk menggunakan taktik "Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya".

 

Liu Xun ialah seorang yang tamak. Dengan mengetahui kelemahan itu, Sun Ce telah menghantar hadiah yang mahal kepada Liu Xun. Dalam surat yang bersama-sama disampaikan dengan hadiah itu, Sun Ce dengan sikap merendah diri telah menyanjung tinggi pencapaian Liu Xun dan juga melontarkan perkataan yang manis untuk berkawan dengan Liu Xun. Selain itu, Sun Ce juga telah meminta Liu Xun membantu dia dalam membalas serangan yang sering dilakukan oleh hulubalang yang berpangkalan di Shangliao dengan alasan kekuatan pasukannya lemah dan tidak mampu melakukan serangan jarak jauh.

 

Liu Xun berasa sangat senang hati dan bangga kerana menerima hadiah dan permintaan bantuan daripada Sun Ce. Sebenarnya, Liu Xun memang berhajat untuk merebut kawasan Shangliao yang subur sejak awal. Jadi, Liu Xun yang terkena tipu daya akhirnya telah melancarkan serangan terhadap Shangliao.

 

Serentak dengan itu, Sun Ce telah melakukan pemantauan yang rapi terhadap pergerakan tentera Liu Xun. Sebaik sahaja Liu Xun telah mengetuai beberapa puluh ribu orang askar bertolak untuk menyerang Shangliao, Sun Ce telah mengambil kesempatan itu untuk menyerang kota Lu Jiang yang daya pertahanannya menjadi lemah tanpa pimpinan Liu Xun. Akhirnya, Sun Ce telah berjaya menawan kota Lu Jiang dengan mudah sekali.

 

Dalam rancangan sebelum ini, saya pernah perkenalkan taktik "Berpura-pura Menyerang di Timur tetapi Sasarannya adalah di Barat" dan "Selamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei". Taktik "Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya" juga dianggap sebagai satu taktik yang amat berkesan.

 

Dalam penggunaan taktik "Berpura-pura Menyerang di Timur tetapi Sasarannya adalah di Barat", kita mesti mendapat maklumat sepenuhnya mengenai pihak lawan, menganalisis fikiran pihak lawan serta memperhatikan sebarang tindakan pihak lawan untuk membuat pertimbangan yang menyeluruh supaya keputusan yang betul dan tepat dapat dibuat.

 

Manakala, penggunaan taktik "Selamatkan Negeri Zhao dengan Mengepung Negeri Wei" perlu mengelakkan kekuatan utama musuh dan mencari bahagian-bahagian musuh yang lemah agar dapat menewaskan dan mengalahkan musuh.

 

Berbanding dengan dua taktik tersebut, "Menarik Harimau untuk Meninggalkan Sarangnya" menekankan penggunaan tipu muslihat supaya pihak musuh jauh daripada persekitaran tertentu atau kehilangan kelebihannya, kemudian barulah kita bertindak untuk mengalahkannya.