China ABC

Taktik Ke-3: Bunuh Orang dengan Pisau Pinjaman

Taktik "Bunuh Orang dengan Pisau Pinjaman" bermaksud membunuh orang melalui orang lain tanpa disedari dan juga boleh difahami sebagai menghapuskan lawan sendiri dengan menggunakan kekuatan pihak ketiga. Taktik tersebut selalu diguna pakai dalam aktiviti ketenteraan dan politik pada zaman purba China.

 

Kononnya, pada zaman Chunqiu iaitu pada tahun 770 Sebelum Masihi hingga tahun 476 Sebelum Masihi, sebelum menyerang negeri Kuai, raja negeri Zheng telah membuat risikan dan mendapat maklumat tentang pegawai-pegawai yang pandai dan bijaksana di negeri Kuai. Raja negeri Zheng telah menyenaraikan nama mereka sebagai orang yang akan diberi ganjaran seperti memberikan mereka tanah dan menaikkan mereka pangkat sebaik sahaja dapat menewaskan negeri Kuai. Untuk memperdaya raja negeri Kuai, raja negeri Zheng pula telah mengadakan upacara untuk menyembunyikan senarai nama pegawai tersebut di tempat pemujaan dan bersumpah akan memberi ganjaran kepada pegawai-pegawai tersebut yang membantunya.

 

Setelah mendengar khabar itu, raja negeri Kuai yang berang telah membunuh kesemua pegawai dalam senarai tersebut yang dianggap sebagai pengkhianat. Jadi, seperti yang dijangka oleh raja negeri Zheng, tenteranya telah berjaya mengalahkan negeri Kuai tanpa bersusah payah.

 

Dalam sejarah China, juga terdapat satu cerita yang memperlihatkan penggunaan taktik "Bunuh Orang dengan Pisau Pinjaman". Cerita itu berjudul "dua biji pic bunuh tiga kesateria".

 

Kononnya, pada abad ke-6 Sebelum Masihi, terdapat tiga orang kesateria di negeri Qi China. Mereka ialah Gongsunjie, Tiankaijiang dan Guzhizi. Ketiga-tiga orang kesateria yang gagah berani itu amat disukai oleh raja negeri Qi. Akan tetapi, kesombongan dan jumlah pengikut mereka masing-masing yang semakin ramai telah menimbulkan kebimbangan ahli politik negeri Qi, Yan Ying atas keharmonian dan keselamatan negeri. Jadi, Yan Ying telah memberi nasihat kepada raja negeri Qi supaya ancaman daripada ketiga-tiga orang tersebut dapat dihapuskan.

 

Lalu, raja negeri Qi telah menggunakan muslihat Yan Ying untuk memperdayakan mereka yang pada akhirnya mereka telah membunuh diri masing-masing.

 

Cerita itu adalah seperti yang berikut: Raja negeri Qi telah menganugerahkan dua biji buah pic kepada tiga orang kesateria tersebut dan menitahkan bahawa hanya dua orang yang membuat jasa paling besar daripada ketiga-tiga orang tersebut sahaja yang layak untuk memakan buah pic itu. Akhirnya, ketiga-tiga orang itu masing-masing telah membunuh diri hanya semata-mata untuk memakan buah pic itu.

 

Dalam cerita tersebut, Yan Ying berjaya membunuh tiga orang kesateria yang telah menjadi ancaman kepada negeri Qi dengan menggunakan dua biji buah pic sahaja.

 

Walau bagaimanapun, taktik "Bunuh Orang dengan Pisau Pinjaman" biasanya dianggap sebagai muslihat yang licik dan kejam. Oleh itu, penggunaan taktik tersebut juga terhad dalam bidang ketenteraan. Penggunaan taktik itu dalam bidang yang lain pula akan dianggap mengejikan.

 

Meskipun begitu, penggunaan taktik itu dalam bidang perniagaan lebih tertumpu kepada peminjaman, iaitu meminjam dan menggunakan kekuatan pihak yang lain dengan cara yang pintar cerdas bagi mencapai matlamat sendiri. Tujuannya bukan untuk menghapuskan pihak lain, tapi untuk mencapai situasi muafakat bestari.

 

Dalam aktiviti perniagaan, antara yang boleh "dipinjam" juga termasuklah modal, tenaga manusia, teknologi, wilayah pasaran dan situasi. Jika para usahawan boleh menguasai kemahiran penggunaan taktik "Bunuh Orang dengan Pisau Pinjaman", mereka tentu akan mencapai matlamat dengan cara yang luar biasa.