China ABC

Embun Putih

"Embun Putih" biasanya jatuh pada 7 hb atau 8 hb September setiap tahun.  

 

Setelah tibanya hari "Embun Putih", oleh sebab suhu udara pada waktu malam agak rendah, ini telah menyebabkan wap air yang endap pada benda-benda di permukaan tanah menjadi titik-titik air yang berwarna putih. Pada masa di sekitar hari "Embun Putih", walaupun suhu udara pada siang hari masih berada pada paras 30 darjah Selsius, akan tetapi suhu udara pada waktu malam akan turun di bawah paras 20 darjah Selsius. Ini menunjukkan bezantara suhu udara waktu siang dengan waktu malam adalah amat besar sehingga wap air yang turun pada waktu malam akan endap menjadi titik-titik pada daun-daun pokok.

 

Dalam bidang kaji cuaca, fenomena alam itu berlaku kerana setelah hari "Embun Putih", monsun musim panas akan beransur-ansur beralih ke arah utara menjadi monsun musim sejuk. Udara sejuk juga akan menuju ke arah selatan. Sementara itu, garisan pancaran matahari tegak ke permukaan bumi juga beralih ke arah selatan sehingga menyebabkan waktu siang di hemisfera Utara juga semakin pendek. Dalam tempoh tersebut, cuaca pada waktu malam sering cerah tanpa awan, kepanasan di permukaan bumi cepat hilang dalam cuaca sebegini dan suhu udara juga menurun dengan cepat.

 

Setelah hari "Embun Putih" menjelma, jumlah hujan yang turun di bahagian utara China akan berkurang dengan ketara, malah bencana kemarau akan berlaku di sesetengah tempat.

 

Tempoh musim bunga di bahagian utara China agak pendek dan sering berlaku ribut pasir, cuaca pada musim panas pula panas terik dan musim sejuk di situ bagi para pendengar kami di kawasan tropika tidak tahan akan sejuknya. Berbanding dengan ketiga-tiga musim tersebut, musim gugur yang cuacanya nyaman sekali di utara China merupakan musim terbaik dalam sepanjang tahun.

 

Walau bagaimanapun, cuaca di bahagian selatan adalah jauh berbeza dengan bahagian utara China. Di kawasan pergunungan di barat daya China seperti Provinsi Sichuan dan bandar raya Chongqing. Tempoh awal musim gugur ini merupakan tempoh yang paling banyak hujan di situ. Walaupun hujanya tidak lebat, tetapi hujan selalunya turun dengan tidak berhenti-henti. Hujan yang terlalu banyak itu akan menjejaskan hasil pertanian dan juga akan mengakibatkan banjir.

 

Dalam sejarah China, banjir-banjir yang serius di kawasan aliran Sungai Jialing dan Sungai Han iaitu anak Sungai Yangtze telah berlaku pada bulan September. Fenomena itu dikenali sebagai "banjir musim gugur" dan sentiasa dipantau rapi oleh pihak jabatan kaji cuaca dan pengairan.

 

Setelah hari "Embun Putih" berlalu, kaum tani mulai sibuk menuai hasil tanaman. Di utara China, tanaman-tanaman seperti kacang soya, betari, kapas dan walnut semuanya sudah sampai masa untuk dituai.

 

Dalam musim ini, orang China juga mempunyai cara tradisi untuk memelihara kesihatan sendiri. Mereka percaya bahawa setelah hari "Embun Putih" tiba, lebih baik tidak menggunakan air sejuk untuk mandi dan juga perlu memakai baju berlengan dan berseluar panjang untuk mengelakkan daripada terkena tamparan angin sejuk.

 

Setelah tibanya hari "Embun Putih", anda juga akan berasa cuaca menjadi semakin hari semakin kering dan sentiasa berasa haus dan kering pada kulit.

 

Perubatan tradisional China percaya bahawa ketidakselesaan akibat perubahan musim itu boleh dihilangkan dengan memakan beberapa makanan seperti buah badam dan ginseng.