China ABC

Taktik ke-30: Tamu Menjadi Tuan Rumah

Pada penghujung zaman Dinasti Han (tahun 202 SM - 220 M), daerah besar dan kecil saling bermusuhan dan kerap berperang untuk merebut wilayah dan memperluas pengaruh kekuasaan.

 

Yuan Shao, penguasa terkuat di daerah utama pernah bersekutu dengan Han Fu dan memanggil penguasa daerah yang lain untuk melawan Dong Zhuo, seorang pegawai kanan yang menguasai istana dan berkuasa atas Raja Xian pada masa itu. Selepas pemberontakan itu, kekuatan Yuan Shao semakin bertambah serentak dengan hasratnya. Beliau menempatkan pasukan tenteranya di Hebei dengan tujuan untuk mengembangkan kuasanya tetapi kekurangan bekalan keperluan.

 

Melihat keadaan ini, rakan sekutunya, Han Fu, memutuskan untuk memberikan bantuan kepadanya. Walau bagaimanapun, Yuan Shao tidak berpuas hati dengan bantuan itu dan tidak suka bergantung kepada orang lain. Dengan nasihat penasihatnya, Feng Ji, Yuan memutuskan untuk merampas depoh bekalan keperluan di daerah Ji Zhou.

 

Pada ketika itu, kawannya, Han Fu merupakan Gabenor Ji Zhou. Yuan tidak menghiraukan keadaan ini kerana beliau benar-benar ingin menguasai depoh tersebut. Beliau menulis sepucuk surat kepada Gongsun Zan, penguasa di Semenanjung Liaodong dan mencadangkan supaya bersama-sama menyerang Ji Zhou. Cadangan itu segera diterima oleh Gongsun kerana beliau juga berhasrat untuk menguasai daerah itu dalam jangka masa panjang.

 

Sementara itu, Yuan membuat muslihat dengan menghantar seorang utusan kepada Han Fu untuk memaklumkan kawan sekutunya bahawa Yuan Shao dan Gongsun Zan telah bersekutu untuk menyerang Ji Zhou.

 

"Yuan Shao ialah sahabat anda. Anda pernah memberikan bekalan keperluan kepadanya ketika dia ditimpa kesukaran. Kenapa anda tidak meminta dia berpaling tadah dan menyebelahi pihak anda demi bersama-sama menangkis serangan Gongsun Zan?" kata utusan Yuan.

 

Han Fu menerima cadangan itu dan memohon sahabat lamanya datang ke Ji Zhou. Yuan setuju berpaling tadah, di samping mengetuai pasukannya menuju ke daerah itu. Apabila masuk ke dalam pusat bandar, Yuan beransur-ansur meletakkan pegawai tenteranya di tempat pertahanan yang kritikal. Han Fu menyedari bahawa "tetamu" yang diundangnya sudah menjadi "tuan rumah" daerah itu. Namun, semuanya sudah terlambat. Han Fu terpaksa melarikan diri dari Ji Zhou.

 

Kunci taktik ini terletak pada perbuatan menukar keadaan yang pasif kepada yang aktif.

 

Dalam bidang ketenteraan, kalahkan musuh dari dalam dengan menyusup ke dalam benteng pihak lawan di bawah muslihat kerjasama, penyerahan diri atau perjanjian damai. Dengan cara ini anda akan menemukan kelemahan. Apabila pihak musuh beristirahat, serang secara langsung ke jantung pertahanannya.