China ABC

Taktik ke-24: Pinjam Laluan untuk Menyerang Guo

Pada zaman Chunqiu (tahun 770 SM - 476 SM), negeri Jin berhasrat menakluk dua buah negeri jirannya, iaitu Yu dan Guo yang mempunyai hubungan yang lebih akrab. Mereka sentiasa saling membantu apabila berhadapan dengan serangan musuh. Menteri negeri Jin, Xun Xi mencadangkan kepada Raja Xian negeri Jin supaya menguasai kedua-dua negeri kecil itu melalui tipu muslihat.

 

"Tuanku tak perlu menyerang negeri Yu secara langsung. Terlebih dahulu, kita harus merenggangkan hubungan antara kedua-dua negeri ini," kata Xun Xi, "Raja negeri Yu seorang yang tamak, kita boleh memberikan batu jed dan kuda yang terbaik kepadanya sebagai tukaran untuk meminjam laluan untuk menyerang Guo menerusi wilayah negeri itu."

 

Namun, Raja Xian enggan menghadiahkan barangan berharga kesayangan sendiri kepada raja negeri Yu.

 

Jawab Xun Xi, “Tuanku, jangan bimbang. Barang-barang kesayangan Tuanku hanya disimpan olehnya buat sementara waktu. Selepas Tuanku menguasai kedua-dua negeri itu, kesemua barang berharga tersebut akan diambil semula.”

 

Raja Xian menerima cadangan tersebut dan berpura-pura bersekutu dengan negeri Yu. Raja negeri kecil itu sangat gembira apabila menerima batu jed dan kuda tersebut.

 

Pada masa yang sama, negeri Jin sengaja mencetuskan konfrontasi di kawasan sempadan Guo sebagai alasan menyerang negeri itu. Dengan demikian, negeri Jin meminta sekutunya, Yu supaya membenarkan pasukan tenteranya melalui wilayah negeri itu bagi memudahkan mereka masuk ke Guo.

 

Melihat keadaan itu, Menteri negeri Yu, Gong Ziqi menasihati rajanya supaya jangan menerima permintaan itu.

 

"Negeri Yu dan Guo bagaikan aur dengan tebing. Kalau negeri Guo ditewaskan, negeri Yu pasti turut menjadi mangsa," kata Gong Ziqi.

 

Walau bagaimanapun, raja negeri Yu menolak nasihat itu. "Berbaik dengan kawan yang lemah untuk mengecewakan kawan yang kuat adalah tindakan yang bodoh," katanya.

 

Akhirnya, tentera negeri Jin dibenarkan melalui wilayah Yu dan berjaya menakluki Guo. Dalam perjalanan balik dari Guo, tentera negeri Jin menghadiahkan sejumlah besar barang berharga yang dirampas kepada negeri Yu. Pada ketika itu, jeneral tentera negeri Jin, Li Ke berpura-pura jatuh sakit dan menempatkan pasukannya di kawasan berhampiran pusat bandar Yu. Raja negeri Yu tidak sedikit pun berasa khuatir dan ragu-ragu terhadap perbuatan itu.

 

Beberapa hari kemudian, Raja Xian negeri Jin mengetuai tenteranya menuju ke Yu. Raja negeri kecil itu memang mengalu-alukan kedatangan rakan sekutunya. Mereka bersama-sama pergi berburu. Tidak beberapa lama kemudian, pusat bandar Yu kelihatan terbakar. Apabila raja tiba di pinggir bandar, pusat bandar itu sudah dikuasai oleh pasukan tentera negeri Jin. Dengan itu, Yu dengan mudah ditakluki oleh Jin.

 

Taktik ini digunakan untuk mengelirukan pihak lawan supaya pihak lawan tidak mengetahui tujuan sebenar  kita.

 

Kunci taktik tersebut terletak pada tindakan meminjam laluan. Jika kita bijak mencari alasan yang tepat dan mudah diterima serta pandai menyembunyikan niat sebenar, kita pasti boleh mendapatkan apa yang diingini.