China ABC

Mang Zhong

Hari "Mang Zhong" merupakan penggal ke-9 dalam Kalendar "24 Musim". Hari pertama penggal itu iaitu hari "Mang Zhong" yang jatuh pada 5 hb, 6 hb atau 7 hb bulan Jun setiap tahun. 

 

Dalam perkara ini, "Mang" bermaksud musim tuaian bagi tanaman yang mempunyai jejanggut seperti gandum. "Zhong" pula bermaksud musim penanaman bagi tumbuhan biji-bijian. Jadi, ketibaan hari "Mang Zhong" menandakan tanaman yang dituai pada musim panas seperti gandum sudah masak dan kerja persiapan perlu dibuat untuk menanam tanaman yang dituai pada musim gugur.

 

Di kebanyakan kawasan di China, terutamanya di bahagian utara, sebaik sahaja tibanya hari "Mang Zhong", tanaman yang masak pada musim panas sudah sampai masanya untuk dituai. Serentak dengan itu, para petani juga perlu menanam tanaman musim panas untuk dituai pada musim gugur di samping menjaga tanaman yang ditanam pada musim bunga seperti jagung. Oleh yang sedemikian, "Mang Zhong" merupakan musim yang paling sibuk bagi petani.

 

Di China, terdapat bidalan tentang hari "Mang Zhong" yang berbunyi: "menuai gandum seperti menyelamatkan kebakaran, kerja penuaian mesti diselesaikan dengan secepat mungkin". Ini menggambarkan betapa sibuknya setelah ketibaan hari "Mang Zhong".

 

Selain itu, terdapat juga satu bidalan yang berbunyi: "kerja penanaman pada musim bunga mesti mengejar masa setiap hari dan masa setiap jam juga harus dihitung dalam kerja penanaman pada musim panas. Biasanya, kerja penanaman tanaman musim panas harus dibuat dengan secepat mungkin setelah kerja penuaian tersebut selesai untuk memastikan tanaman yang akan masak pada musim gugur mendapat tempoh pertumbuhan sepenuhnya. Jika tidak, jumlah hasil tanaman tersebut seperti kacang soya, jagung dan ubi keledek akan terjejas akibat kekurangan tempoh pertumbuhan.

 

Di China, disebabkan wilayahnya yang begitu luas, cuaca di utara dan selatan China adalah berbeza-beza. Pada sekitar hari "Mang Zhong", bahagian selatan China telah memasuki musim hujan yang biasanya selama sebulan. Oleh sebab buah plum juga masak pada masa itu, jadi tempoh yang selalu turun hujan itu juga dikenali sebagai musim "hujan plum" di selatan China. Pada musim "hujan plum", jumlah penurunan hujan akan meningkat, sinaran matahari akan berkurang dan suhu udara juga mungkin menurun dengan banyak.

 

Selain itu, hari "Mang Zhong" juga amat penting bagi peladang teh di China. Dari segi masa pemetikan, teh China ada tiga jenis iaitu teh musim bunga, teh musim panas dan teh musim gugur. Jadi, setelah berlalunya hari "Mang Zhong", peladang teh di kebanyakan kawasan penanaman teh sedang sibuk memetik daun teh. Ini kerana, suhu udara pada masa itu agak tinggi, daun teh juga tumbuh sangat pesat. Jika daun teh yang baru tumbuh tidak dipetik dengan segera, daun itu akan menjadi terlalu tua sehingga menjejaskan mutu dan rasa teh itu.