China ABC

Embun Beku Turun

Hari "Embun Beku Turun" biasanya jatuh pada 23 hb atau 24 hb Oktober setiap tahun. " Embun Beku Turun " bagi tahun ini akan jatuh pada 23 Oktober nanti. Dalam kalendar "24 Musim" China, "Embun Beku Turun" merupakan penggal terakhir dalam musim luruh. Ketibaan hari "Embun Beku Turun" menandakan cuaca akan menjadi lebih sejuk sehingga air embun akan membeku. Fenonema berlakunya embun beku memerlukan suhu udara dan kandungan wap air yang sesuai iaitu suhu permukaan bumi mesti turun ke suatu nilai yang sama dengan atau lebih rendah daripada takat beku air iaitu 0 darjah Selsius dan udara berhampiran permukaan bumi mesti mengandungi wap air yang mencukupi.

 

Ketibaan hari "Embun Beku Turun" amat bermakna bagi pengeluaran pertanian. Ini kerana masa dari musim sebelumnya "Embun Sejuk" hingga "Embun Beku Turun" betul-betul merupakan tempoh matang tanaman musim luruh. Dalam masa setengah bulan itu, para petani akan sibuk bekerja di ladang untuk menuai hasil musim itu dan juga menanam tanaman pada musim sejuk. Di kawasan pertanian China, terdapat satu bidalan yang mengatakan "jika hari "Embun Sejuk" tiba awal, hari "Permulaan Musim Sejuk" akan datang lewat, musim "Embun Beku Turun" merupakan masa yang paling sesuai untuk menuai ubi keledek. Bidalan tersebut bermaksud, ubi keledek belum matang semasa musim "Embun Sejuk", namun jika kerja penuaian ubi keledek dilakukan sehingga musim "Permulaan Musim Sejuk", kerja itu pula dikira terlalu lewat. Maka, hanya ubi keledek yang dituai pada musim "Embun Beku Turun" mempunyai kandungan kanji dan nilai zat pemakanan paling tinggi.

 

Di kebanyakan kawasan di utara China, masa di sekitar hari "Embun Beku Turun" juga merupakan musim untuk memetik hasil kapas dan menanam gandum musim sejuk.

 

Walau bagaimanapun, setelah berlalunya hari "Embun Beku Turun", suhu udara pada waktu pagi dan malam sudah agak rendah dan salji pun sudah turun di Xinjiang dan Qinghai di barat laut China. Di banyak tempat di barat laut China, suhu udara pada waktu malam akan menurun pada sekitar 0 darjah Selsius. Kadang kala, sayur-sayuran yang bukan ditanam dalam rumah hijau akan dilanda embun beku.

 

Di China, terdapat bidalan berbunyi "embun beku mematikan rumput rampai". Bidalan tersebut telah menggambarkan betapa bahaya fenomena alam itu. Oleh sebab itu, setelah tibanya hari "Embun Beku Turun", para petani China akan sentiasa mengawasi keadaan perubahan cuaca dan menumpukan perhatian terhadap ramalan cuaca mengenai embun beku supaya mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan tanaman mereka terjejas akibat fenomena alam itu.

 

Perubatan tradisional China berpendapat bahawa memakan makanan yang boleh memanaskan badan pada musim luruh sangat bermanfaat bagi kesihatan. Ini kerana, dalam keadaan cuaca menjadi semakin sejuk, badan kita memerlukan lebih banyak kepanasan.

 

Akan tetapi, ketika musim sejuk tiba, jika kita memakan terlalu banyak makanan yang mengandungi kepanasan tinggi seperti daging lembu dan daging kambing, kepanasan yang berlebihan akan tersimpan di dalam badan kita sehingga menjejaskan keseimbangan dan kesihatan badan.

 

Maka, rakyat China percaya bahawa kaedah untuk mengukuhkan kesihatan melalui memakan makanan atau bahan yang berkhasiat patut digunakan pada musim "Embun Beku Turun", tapi bukan musim sejuk. Makanan yang paling disukai rakyat China untuk dimakan pada musim "Embun Beku Turun" ialah sup daging kambing.

 

Pada zaman purba China, selain hari "Qing Ming" yang sudah saya perkenalkan dalam rancangan sebelum ini, orang China juga akan menziarahi dan membersihkan kubur nenek moyang mereka pada hari "Embun Beku Turun". Akan tetapi, adat istiadat itu tidak diwarisi sehingga hari ini.

 

Selain itu, di Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi di selatan China, orang tempatan masih mengekalkan tradisi untuk mengadakan pertandingan menyanyi lagu bagi menyambut ketibaan hari "Embun Beku Turun". Sesetengah kaunti pula telah menetapkan tempoh sembilan hari selepas hari "Embun Beku Turun" sebagai Pesta Hari "Embun Beku Turun". Dalam pesta yang berlangsung selama sembilan hari itu, orang tempatan akan bermain gong dan dram, menyanyi lagu rakyat untuk melahirkan perasaan riang mereka yang mendapat hasil tuaian makmur dan menikmati kehidupan sejahtera.