China ABC

Taktik Ke-9: Melihat Kebakaran dari Seberang Sungai

Daripada judul taktik tersebut sudah dapat kita tangkap maksud yang hendak disampaikan iaitu melihat sahaja, tidak mengambil sebarang tindakan untuk membantu mereka yang berada dalam bahaya, kesukaran atau krisis seperti Melihat Kebakaran dari Seberang Sungai. Akan tetapi, dalam bidang ketenteraan taktik tersebut bermaksud: Berundur dulu, jika mendapati ada tanda-tanda yang menunjukkan pertikaian berlaku di dalamnya. Ini kerana jika kita berdepan dengan pihak musuh pada waktu itu, pelbagai pihak yang saling bertikai itu tentulah akan mengetepikan perselisihan dalaman buat sementara waktu, lalu bersama-sama mempertahankan diri daripda serangan kita. Itulah sebabnya disarankan supaya kita tidak bertindak dahulu, sebaliknya melihat perkembangan pertikaian dalaman pihak musuh dari jauh sahaja untuk menunggu sehingga situasi pihak musuh menjadi lebih buruk, kemudian seranglah dengan kekuatan penuh secara habis-habis.

 

Taktik "Melihat Kebakaran dari Seberang Sungai" amat praktikal dalam peperangan. Saya bagi satu contoh: Pada akhir pemerintahan Dinasti Han Timur China (220 Masihi - 280 Masihi), tentera yang diketuai oleh Hulubalang Yuan Shao yang menguasai bahagian utara China telah mengalami kekalahan yang teruk. Tidak lama selepas itu, Yuan Shao telah meninggal dunia. Anak-anak lelakinya yang masing-masing bercita-cita untuk mewarisi kuasa pemerintahan ayah anda mereka telah mencetuskan konflik antara satu sama lain. Sementara itu, hulubalang Cao Cao dari negeri Wei yang berjaya mengalahkan Yuan Shao hendak membunuh Yuan Xi dan Yuan Shang, iaitu dua orang anak lelaki yang terunggul antara anak-anak Yuan Shao. Tujuan Cao Cao adalah untuk menghapuskan kekuatan Yuan Shao daripada akar umbinya supaya sekali gus mendapatkan kuasa pemerintahan di bahagian utara China.

 

Jadi, Cao Cao telah melancarkan serangan terhadap pasukan-pasukan pimpinan Yuan Xi dan Yuan Shang dan berjaya mengalahkan mereka, Yuan Xi dan Yuan Shang dua orang adik-beradik itu terpaksa melarikan diri ke kawasan Liaodong yang diperintah oleh Gongsun Kang untuk mendapatkan perlindungan. Ketua-ketua pasukan tentera Cao Cao semuanya memujuk Cao Cao supaya berperang dengan Gongsun Kang dengan alasan hendak mendapatkan Yuan Xi dan Yuan Shang. Akan tetapi, Cao Cao telah memberitahu pengikutnya bahawa kepala Yuan Xi dan Yuan Shang akan dihantar ke tempat mereka oleh Gongsun Kang tidak lama lagi. Maka, Cao Cao telah membawa tenteranya balik ke pangkalan dan menunggu perubahan situasi di sana.

 

Bagi Gongsun Kang, kedatangan Yuan Xi dan Yuan Shang telah menimbulkan kecurigaannya. Ini kerana dia tahu bahawa kekuatan Yuan Shao sentiasa bercita-cita untuk merebut kuasa pemerintahan terhadap kawasan Liaodong daripada tangannya. Dia menyedari bahawa selepas ditewaskan oleh Cao Cao, dua orang adik-beradik itu terpaksa meminta perlindungan daripadanya kerana mereka tidak ada pilihan yang lain. Jika Gongsun Kang menerima Yuan Xi dan Yuan Shang, ini tentu akan menjejaskan hubungannya dengan Cao Cao dan mungkin akan menjadi alasan Cao Cao untuk menyerangnya pada sesuatu hari nanti.

 

Dari satu segi yang lain, Gongsun Kang berfikir bahawa jika Cao Cao menyerangnya sekarang, dia terpaksa menerima dua orang adik-beradik itu untuk bersama-sama mempertahankan serangan daripada tentera Cao Cao.

 

Walau bagaimanapun, setelah diberitahu Cao Cao telah balik ke pangkalannya dan tidak ada rancangan untuk menyerangnya, Gongsun Kang telah berubah fikiran dan menganggap Yuan Xi dan Yuan Shang adalah tidak berguna sama sekali, sebaliknya akan membawa masalah pula. Maka, Gongsun Gang telah membunuh dua orang adik-beradik itu dan menyerahkan kepala mereka kepada Cao Cao untuk menunjukkan kesetiaannya dan juga supaya tidak menambah permusuhan dengan Cao Cao yang kuat itu.

 

Dalam pertarungan itu, Cao Cao telah berjaya menggunakan taktik "Melihat Kebakaran dari Seberang Sungai". Dia telah membuat pertimbangan dan penilaian yang tepat serta membuat keputusan yang bijak iaitu berundur dahulu dan menunggu situasi berubah menjadi lebih berpihak kepada dirinya. Oleh sebab itulah, Cao Cao telah berjaya menghapuskan kekuatan Yuan Shao dengan terbunuhnya dua orang anak lelaki terunggul Yuan Shao tanpa bersusah payah.

 

Saudara pendengar, setelah mendengar cerita tersebut, adakah anda dapati bahawa taktik "Melihat Kebakaran dari Seberang Sungai" boleh berjaya atau tidak? Sebenarnya, perkara ini bergantung kepada kebijaksanaan keputusan yang diambil iaitu melihat dahulu perkembangan sesuatu situasi tanpa membuat sebarang tindakan sehinggalah berlakunya perpecahbelahan dalam kalangan pihak musuh. Itulah peluang kita untuk mengambil tindakan terhadap pihak musuh secara habis-habisan.