China ABC

Salji Kecil

Salji Kecil merupakan penggal ke-20 dalam Kalendar 24 Musim selepas Permulaan Musim Sejuk. Penggal ini biasanya jatuh pada 22 atau 23 haribulan November setiap tahun.

 

Semasa penggal ini, angin timur laut selalu membadai, suhu udara semakin menurun sehingga di bawah paras sifar. Namun, walaupun salji turun tetapi kuantitinya tidak besar dan suhu udara tidak begitu sejuk. Oleh itu, penggal ini dipanggil Salji Kecil.

 

Semasa penggal Salji Kecil, salji pertama akan turun di kawasan sebelah utara Sungai Kuning di China, yang mengingatkan orang ramai agar mula menahan sejuk. Pada waktu ini, peredaran atmosfera di rantau Asia Timur sudah stabil, manakala tekanan udara rendah dari Siberia bergerak menuju ke arah selatan dan membawa udara sejuk ke kawasan timur China. Pada awal penggal Salji Kecil, tanah beku di kawasan timur laut China mencatat ketebalan 10 sentimeter, seterusnya akan membeku satu sentimeter sehari semalam sehingga mencatat lebih satu meter pada penghujung penggal ini.

 

Di China terdapat satu pepatah yang berbunyi bahawa “salji turun semasa Salji Kecil, tahun depan tentu tuaian makmur”. Ia membawa tiga makna. Pertama, salji turun semasa penggal Salji Kecil, hujan akan turun merata dan tiada bencana kemarau pada tahun depan. Kedua, kesejukan salji membantu membunuh bakteria penyakit dan serangga perosak. Dan ketiga, salji berfungsi memelihara haba dan berfaedah bagi persenyawaan organik melarut serta meningkatkan kesuburan tanah.

 

Makanan yang berkhasiat seperti daging kambing, daging lembu dan daging ayam lebih sesuai dimakan semasa penggal ini. Selain itu, gajus, biji Euryale ferox, akar kemenyan, buah berangan, gingko dan walnut yang bagus bagi buah pinggang patut dimakan semasa tempoh ini.

 

Penduduk China biasanya membuat sosej serta mengasinkan dan mengasapi daging supaya makanan ini dapat dinikmati semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Di sesetengah kawasan selatan China, penduduk akan memasak Ciba, iaitu sejenis sajian pemujaan tradisional semasa zaman purba.